Anda di sini

Phoong wakili KM hadiri Sesi Libat Urus Akta Pertubuhan Belia 

Advertisement
 Phoong (kiri) berbincang sesuatu bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq.
BINCANG: Phoong (kiri) berbincang sesuatu bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq.

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe telah mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Haji Apdal untuk menghadiri Sesi Libat Urus Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, semalam.

Antara subjek pembentangan dan perbincangan adalah seperti pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia, tadbir urus Pertubuhan Belia Pasca Pindaan Akta 668, garis panduan pemberian bantuan kepada pertubuhan belia oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara. 

Sesi Libat Urus Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia ini dipengerusi oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq. Turut hadir termasuk exco negeri dan pegawai Jabatan Belia dan Sukan dari seluruh Malaysia.

Menurut Phoong, sesi taklimat dan perbincangan ini amat berhasil dan penting untuk memastikan pindaan akta dapat dilaksanakan dengan lancar dalam memperkasakan kepimpinan pertubuhan belia di peringkat kebangsaan dan negeri.

Katanya, takrifan had umur belia Sabah adalah 15-35 tahun dan had umur pemegang jawatan pertubuhan belia adalah 18-35 sehingga kajian dan penilaian menyeluruh dibuat untuk memastikan belia Sabah benar-benar bersedia untuk diturunkan kepada 30 tahun mengikut pindaan akta ini.

Selain itu, dalam pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq, Phoong juga membangkitkan tiga projek yang tergendala sekian lama di Sabah iaitu Kompleks Sukan Tenom, pembinaan kolam renang Tawau dan pembinaan Stadium Ragbi Sabah.

Phoong juga berkongsi dengan Syed Saddiq tentang perkembangan program belia dan sukan yang bakal diadakan di Sabah, seperti Hari Belia Sabah, Sukan Sabah dan lain-lain. 

Phoong berharap kerjasama yang erat terus dikekalkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, bagi melancarkan pelaksanaan dasar kerajaan, dan membangunkan sukan dan belia bersama-sama.

Advertisement