Anda di sini

Pemuda ugut ibu, rosakkan rumah didenda RM4,000

Advertisement

MIRI: Gara-gara tidak dibenarkan masuk kerana mabuk dan balik lewat, seorang pemuda bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan cara memecahkan cermin tingkap dan merosakkan pintu rumah.

Cantona Henry, 22, dari Taman Permai, Bandar Baru Permyaja di sini yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam didenda RM4,000 atau dua bulan penjara setelah mengaku bersalah atas kedua-dua kesalahan itu.

Berdasarkan kes pertama, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Mary Ajan, 50, dengan cara memecahkan cermin tingkap dan merosakkan pintu rumah dengan niat menakutkan ibunya.

Bagi kesalahan ini, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh didapati telah melakukan khianat dengan memecahkan cermin tingkap dan merosakkan pintu rumah milik Mary Ajan menggunakan batu bata sehingga menyebabkan kerugian RM300.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 12.30 pagi, 3 November lalu di rumah keluarganya di Taman Permy Bandar Baru Permyjaya di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman ringan dan mengakui amat menyesal di atas perbuatannya itu.

Katanya, semasa kejadian dia yang dalam keadaan mabuk telah dikunci di luar oleh ibunya kerana balik lewat.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM1,500 atau sebulan penjara dan denda RM2,500 atau sebulan penjara bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Eleanor Mako Timothy.

Advertisement