Anda di sini

Membakut dilanda banjir susulan hujan berterusan di kawasan hulu sejak kelmarin

 Ariffin (tengah) ketika meninjau kawasan banjir di pekan Membakut.
PRIHATIN: Ariffin (tengah) ketika meninjau kawasan banjir di pekan Membakut.

BEAUFORT: Kawasan pekan lama Membakut dan beberapa perkampungan sekitarnya dilanda banjir antara 0.5 meter hingga 1.5 meter, berikutan hujan berterusan di kawasan hulu sejak petang kelmarin.

Beberapa jalan utama menuju ke kawasan pekan lama dilapor hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Antara kampung teruk terjejas banjir termasuk Kampung Bambangan, Sinuko, Sindok, Baitam, Jambatan Baru, Kampung Baru dan Lampijas selain kawasan pekan lama Membakut.

Sehingga jam 5 petang semalam, seramai 19 mangsa banjir dari lapan keluarga dipindahkan ke Dewan Pusat Pemindahan Mangsa Bencana Selagon, seawal jam 8 pagi semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kol (PA) Kamal Mokhtar berkata kesemua mangsa banjir termasuk lima kanak-kanak itu adalah mangsa banjir dari Kampung Baitam, Jambatan Baru dan Kampung Baru.

 Anggota APM semasa membantu memindahkan sebuah keluarga terjejas banjir di sini.
PINDAH: Anggota APM semasa membantu memindahkan sebuah keluarga terjejas banjir di sini.

"Setakat ini paras air di kawasan ini berada pada tahap bahaya iaitu 7.25 meter dan banjir turut menjejaskan 11 kampung masing-masing Bambangan, Sinuko, Sindok, Baitam Ulu, Lumantak, Baitam Laut, Jambatan Baru, Kayai, Papas, Baitam dan Kampung Baru.

"Beberapa laluan termasuk Jalan Baitam Laut tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan manakala Jalan Poring hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja dan anggota kita melakukan pemantauan berterusan di sekitar kawasan terjejas untuk bersedia dengan sebarang kecemasan," katanya.

Menurutnya, operasi disertai tiga pegawai dan 30 anggota lain-lain pangkat bersama kereta pacuan empat roda serta lori milik APM.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut, Datuk Haji Mohd Arifin Arif, yang turun padang memantau keadaan banjir di kawasan terlibat berkata setakat ini lapan keluarga dari kampung Baitam dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Kampung Salagon, Beaufort.

Katanya, pihak berkuasa bomba, APM, polis, Rela dan Pejabat Daerah akan terus membuat pemantauan di semua lokasi banjir.

Beliau berkata sekiranya hujan berterusan, ada kemungkinan lebih ramai penduduk terjejas akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Pusat Operasi dan Pemindahan Banjir sudah pun diaktifkan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

 Penduduk terjejas banjir dipindahkan menggunakan bot untuk ke pusat pemindahan.
BANJIR: Penduduk terjejas banjir dipindahkan menggunakan bot untuk ke pusat pemindahan.

Arifin yang juga Ketua Penaja Bersatu Bahagian Kimanis berkata kawasan pekan Membakut juga terjejas ekoran kejadian banjir kali ini di mana jalan dari Pejabat Pos, Balai Polis dan Sekolah Agama Negeri Pekan Membakut menuju  ke kedai baru  ditenggalami air dan  ditutup kepada semua kenderaan.

"Kita berharap semua pihak sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya keadaan banjir berterusan," katanya.

 Anggota keselamatan membantu memindahkan penduduk terjejas.
BANTU: Anggota keselamatan membantu memindahkan penduduk terjejas.