Anda di sini

KWC perkenal premis pusat sehenti 24 jam untuk pelanggan 

Advertisement
 William bersama Kuan dan tetamu kehormat lain memotong riben sempena pelancaran KWC Lifestyle Shoppes di Pusat Beli-Belah Imago Kota Kinabalu.
RASMI: William bersama Kuan dan tetamu kehormat lain memotong riben sempena pelancaran KWC Lifestyle Shoppes di Pusat Beli-Belah Imago Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: KWC Lifestyle Shoppes (KWC) melancarkan premis pusat sehenti 24 jam khusus untuk kemudahan pelanggan-pelanggan mereka semasa membeli-belah.

Pengasas KWC Kuan Wei Chung berkata KWC bukan hanya menawarkan premis kedai serbaneka biasa tetapi menggabungkan pelbagai perkhidmatan dalam persekitarannya.

“KWC mempunyai segala-galanya untuk semua keluarga seperti membeli-belah, makan, bekerja, berjumpa dan aktiviti lain, sambil menunggu penerbangan atau masuk ke bilik.

“Anda boleh menemui produk farmaseutikal, makanan segar dan barangan lain di tingkat bawah, dan tingkat satu pula ada tangga pelangi KWC yang cukup ikonik,” katanya.

Kuan berkata demikian dalam ucapannya sempena pembukaan gilang-gemilang premis KWC di Pusat Beli-Belah Imago, di sini, semalam, yang turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk William Baya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tingkat atas KWC menawarkan mainan, peralatan rumah serta produk-produk tempatan seperti teh Sabah, sarang burung dan sebagainya.

“Apabila anda datang ke KWC, saya percaya anda akan menikmati pengalaman pertama berada di galeri seumpamanya di Pantai Timur Malaysia,” katanya.

Menurutnya, galeri interaktif itu juga sesuai untuk semua peringkat usia dan menawarkan pelbagai aktiviti yang boleh menguji kreativiti pelanggan, eksplorasi serta banyak lagi.

Beliau berkata dalam usaha memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan, KWC juga mahu memberikan suasana pengalaman membeli-belah yang selesa kepada pelanggan.

Sempena program itu juga, Kuan menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Pengurusan Pusat Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Leshan Kota Kinabalu.

  • oleh
  • Advertisement