Anda di sini

Kastam rampas beras import elak cukai di Miri

Advertisement
 

MIRI: Sebanyak 1,113 guni beras yang diimport dari negara jiran dipercayai belum mendapat kelulusan kastam dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah gudang di Taman Tunku di sini, pada Khamis. 

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata guni beras seberat 55,650 kilogram ini melibatkan anggaran nilai berjumlah RM83,475 dengan anggaran nilai cukai yang terlibat adalah sebanyak RM33,390 menjadikan jumlah keseluruhan RM116,865. 

"Serbuan di gudang terbabit dijalankan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Miri kira-kira jam 10.45 pagi. 

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pasukan telah berjaya menemui sejumlah beras yang dipercayai belum lulus kastam yang di simpan di bahagian stor penyimpanan barangan gudang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sharifah Halimah berkata seorang lelaki telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Menurutnya, individu terlibat disyaki menyimpan beras yang belum lulus kastam yang diimport dari negara jiran untuk dijual kepada pelanggan di sekitar bandar raya Miri. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 di mana jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. 

Advertisement