Anda di sini

Kanak-kanak dari Kampung Mambong disahkan meninggal dunia akibat rabies

 

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berasal dari Kampung Mambong, Jalan Penrissen disahkan meninggal dunia akibat rabies encephalitis pada 2 November lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa meninggal dunia semasa dalam rawatan rapi di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Mangsa dikatakan mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan sejak 13 Oktober apabila dia mengadu sakit tekak dan mengalami demam serta berkelakuan luar biasa pada 15 Oktober.

"Mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik swasta untuk pemeriksaan(15 Oktober) sebelum dibawa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan pada 18 Oktober kerana keadaannya bertambah teruk.

"Mangsa dirawat sebagai pesakit luar dengan diagnosa Upper Respiratory Tract Infection (URTI) dan pada 21 Oktober dibawa ke HUS kerana keadaannya semakin lemah sebelum disahkan meninggal dunia.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 2 November dan sampel ujian rabies yang telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah disahkan positif pada 6 November," katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Difahamkan, keluarga mangsa mempunyai dua ekor anjing peliharaan di rumah dan kedua-duanya tidak pernah mendapat vaksinasi.

"Bagaimanapun, mangsa tidak pernah mengadu digigit anjing atau haiwan lain dan buat masa ini kedua-dua anjing itu masih hidup," jelasnya.

Kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak rabies pada 1 Julai 2017 sehingga 6 November 2019 adalah 22 kes termasuk 21 kematian.

Enam daripada kes tersebut berlaku pada tahun ini.