Anda di sini

BERSATU Sabah giat jayakan program dekati rakyat

Advertisement
 Amisah dan Firdaus bersama jentera Bersatu Sabah menziarahi sekitar kawasan PDM Serkat Pontian, Tanjong Piai.
ZIARAH: Amisah dan Firdaus bersama jentera Bersatu Sabah menziarahi sekitar kawasan PDM Serkat Pontian, Tanjong Piai.

PONTIAN: Jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah akan terus menggiatkan usaha menjayakan program ziarah dari rumah ke rumah di Pusat Daerah Mengundi Kampung Serkat Pontian Tanjong Piai dengan menfokuskan mendekati rakyat dan menyantuni masyarakat.

Timbalan Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Amisah Yassin berkata, usaha mendekati rakyat dan menyantuni masyarakat adalah matlamat utama perjuangan parti BERSATU yang harus dijadikan prinsip asas dalam perjuangan, terutama sekali dalam mengenal pasti masalah atau kesukaran rakyat.

“Kita menggunakan masa ketika berkempen pada pilihan raya kecil ini untuk menjayakan program ziarah daripada jentera kita (BERSATU) ke rumah-rumah penduduk.

"Kita berharap dengan usaha ini kita dapat mengenali masyarakat di luar sana dengan lebih mendalam terutama dalam isu masalah semasa serta memerlukan perhatian untuk kita bawa kepada pihak atasan dan dibantu sedaya upaya kita.

“Misalnya, dalam lawatan kita ini, kita bertemu dengan pelbagai masyarakat yang mempunyai pelbagai masalah misalnya penyakit kronik, kesusahan hidup, mangsa kebakaran dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program ziarah dari rumah ke rumah sekitar PDM Serkat Tanjong Piai Pontian kelmarin.

Semalam sebanyak 17 buah rumah telah dilawati dan antaranya rumah orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan, penghidap penyakit usus selama empat tahun, pesakit jantung, mangsa kebakaran dan pesakit angin ahmar.

“Melalui program ini secara tidak langsung kita menjalin hubungan silaturahim baharu antara sesama masyarakat dan ini adalah perkara yang baik untuk kita semua kerana saya yakin, semua agama amat menuntut kita untuk melakukan kebaikan dan mengeratkan silaturahim sesama kita," katanya lagi.

Program ziarah itu diketuai oleh beliau dan turut disertai oleh Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbarkhan;  Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Redonah Bahanda; Setiausaha Ekskutif BERSATU Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali; Timbalan Ketua BERSATU Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Abdul Karim; Ketua Srikandi BERSATU Kinabatangan Dayang Norhayati Titing; Timbalan Ketua Srikandi Kudat, Norlizah Gurahman dan Setiausaha Kerja Armada BERSATU Sabah Azuan Ruzfah.

Amisah berkata, program tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai aktiviti bermusim ketika pilihan raya sahaja tetapi bakal menjadi agenda seterusnya kepada jentera pilihan raya BERSATU di bahagian Tanjung Piai kelak.

“Jangan tuduh kami menjayakan aktiviti ziarah hanya pada musim pilihan raya tetapi kita gerakkan sempena pilihan raya kecil dan segala maklumat akan disalurkan kepada BERSATU bahagian Tanjung Piai untuk diambil tindakan seterusnya. Semua ini untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

“Kita harap rakyat di sini akan terus memilih wakil rakyat daripada calon BERSATU bagi membolehkan segala bantuan dan urusan kebajikan dapat disalurkan dengan lebih lancar dan berkesan,” tambah beliau.

Advertisement