Anda di sini

Ali Biju tetap bertegas dengan pendirian mengenai Seksyen 6

Advertisement
 

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri Krian Ali Biju tetap dengan pendirianya mengenai isu status sebenar tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri adalah tanah kerajaan atau tanah individu.

Menurutnya, ia ekoran daripada banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat khasnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mencabar supaya beliau membuktikan tanah dibawah Seksyen 6 adalah tanah kerajaan dan bukan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

"Apa yang saya telah utarakan di dalam isu ini berlandaskan keputusan makhamah rayuan Malaysia di dalam kes “ Zaharah Mustapha Raja Sewa vs Sagau Batu Bala “ yang bertarikh 28 Mac 2018. 

"Pertikaian mereka berhubung dengan pertindihan tuntutan hak milik tanah yang sudah diwartakan di dalam seksyen 6, berkuatkuasa 18 Januari 2011," katanya ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2020 pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Ali menegaskan, dalam kes berkenaan penghakiman dibuat secara sebulat suara dan antara intipati keputusan adalah termasuk : 

Kesimpulan terakhir hakim menyatakan: "Saya juga berpendapat bahawa mahkamah tidak boleh membenarkan tuntutan plaintif dan pihak pendakwa kerana dengan berbuat demikian ia mengatasi tujuan utama pengisytiharan Rizab Komunal Bumiputera yang dibuat. Maka itu, itu tuntutan plaintif terhadap defendan untuk pencerobohan dan ganti rugi ke atas tanah NCR yang dikatakannya, yang mana berada dalam Rizab Komunal Bumiputera ditolak. Plaintif tidak boleh menuntut memandangkan dia bukan pemilik tanah yang diceroboh. Atas sebab yang sama, tuntutan defendan untuk pengisytiharan bahawa mereka mempunyai tanah NCR yang termasuk dalam Rizab Komunal Bumiputera juga ditolak."

Kedua-dua plaintif dan defendan kalah dalam kes berkenaan.

Menurut Ali, ia adalah keputusan hakim dan bukan keputusan beliau.

"Saya cuma mengulangi apa yang disebut oleh tuan hakim. Kalau nak cabar, cabarlah tuan hakim. Bukan saya yang mengatakan tanah Seksyen 6 adalah tanah kerajaan.

"Hakim yang cakap .Don’t blame the messenger (jangan salahkan penyampai)," katanya.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Saratok berkenaan mencabar wakil rakyat GPS untuk berani tampil ke hadapan menjadi saksi di mahkamah sekiranya ada kes yang bersamaan melibatkan Seksyen 6.

"Saya mencabar supaya menyokong usul pindaan Seksyen 6 dimana perkataan yang menyebut tanah kerajaan di tukar menjadi tanah adat bumiputra dan usul ini akan saya bentangkan pada persidangan yang akan datang," katanya.

Beliau juga mencabar agar wakil rakyat GPS menolong tuan punya tanah menuntut ganti rugi, pampasan, sekiranya tanah di bawah Seksyen 6 digunakan oleh kerajaan seperti yang berlaku terhadap kumpulan Kenyah Badeng di Data Kakus.

"Oleh yang demikian saya sekali lagi mencadangkan supaya tanah NCR di sukat secara langsung mengunakan seksyen 18 tanpa melalui Seksyen 6," tegasnya.
 

Advertisement