Anda di sini

AADK Sri Aman tahan enam lelaki dalam Ops Perdana

 Suspek yang ditangkap untuk siasatan lanjut.
DITAHAN: Suspek yang ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sri Aman menahan enam lelaki kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Perdana, Selasa lepas.

Jurucakap AADK Sarawak berkata, operasi tersebut dijalankan seawal jam 8 pagi dan enam individu berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasilnya, kesemua mereka didapati positif dadah jenis syabu dan mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

“Sebarang maklumat berkaitan masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah boleh disalurkan terus ke pejabat AADK berdekatan,” katanya.

Sementara itu di LAWAS, remaja dan warga emas antara 15 pengguna jalan yang dicekup kerana positif dadah dalam Ops Perdana yang AADK Daerah Limbang di beberapa kawasan di Limbang dan Lawas kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AADK kelmarin, 45 individu pelbagai bangsa diperiksa dan diarahkan menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Hasil daripada saringan yang dijalankan, seramai 15 lelaki berusia lingkungan 19 sehingga 60 tahun didapati positif dadah jenis syabu dan seorang positif ganja dalam operasi yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, operasi di jalan raya dilancarkan di beberapa kawasan di sekitar Limbang dan Lawas membabitkan Jalan Trusan dan Pos Imigresen Merapok di Lawas dan Jalan Kubong di Limbang yang dibantu agensi dan jabatan lain termasuk pihak polis, Kastam dan  Jabatan Kesihatan di Lawas.

Kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.