Anda di sini

Video pendidikan seks bagi kanak-kanak di YouTube capai 2.79 juta tontonan

Advertisement
Hannah Yeoh
Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Video pendidikan seks bagi kanak-kanak melalui YouTube yang dilancarkan pada Jun lepas, kini mencapai 2.79 juta tontonan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Beliau berkata statistik bermula dari tarikh pelancaran sehingga 4 Okt itu menunjukkan suatu trend yang amat signifikan buat kementerian dalam usaha mengurangkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia.

“Dari segi kadar tontonan bermaksud, kalau video ini berjumlah satu minit, untuk yang habiskan keseluruhan (video) kadar tontonan adalah 43 peratus dan ini lebih tinggi daripada kadar purata tontonan industri iaitu 20 peratus sahaja.

“Jadi orang lain bila dia buat kadar purata tontonan industri adalah 20 peratus tapi video kita, kita lihat 43 peratus jadi ia adalah trend yang sangat baik dan mempunyai 67,000 klik share dan likes,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini semalam.

Pada 24 Jun lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan lima video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform YouTube yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia.

Video tempoh satu minit bagi setiap siri itu merupakan usaha kementerian dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysians Against Pornography, selain Google selaku pengendali YouTube itu menyasarkan 150,000 tontonan dalam kalangan kanak-kanak tahun ini dan berkemungkinan dihasilkan dalam bahasa lain, selain bahasa Melayu ketika ini.

Terdahulu ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, Yeoh memaklumkan bahawa pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menambah bilangan pelindung kanak-kanak di negara ini.

Beliau berkata setakat ini Malaysia hanya mempunyai lebih 200 pelindung kanak-kanak, dan jumlah itu tidak mampu melindungi kira-kira 9.4 juta kanak-kanak di seluruh negara.

“Berdasarkan populasi kanak-kanak kita sekarang, kita perlukan 1,500 pelindung kanak-kanak, jadi kita sedang bincang dengan JPA untuk dapatkan lebih ramai tenaga kerja dalam aspek ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang ingin tahu sama ada kerajaan menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan bagi melindungi kanak-kanak. — Bernama

Advertisement