Anda di sini

Tiada kebocoran radioaktif di terminal Pos Aviation KLIA - Bomba 

Advertisement
 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengadakan ujian saringan keatas semua staff yang terlibat sebagai langkah keselamatan selepas mendapat maklumat mengenai insiden kebocoran bahan radioaktif Iridium 192 Metal Solid di gudang Pos Aviation Sdn Bhd Kompleks Kargo Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Gambar Bernama
Bomba mengadakan ujian saringan keatas semua staff yang terlibat sebagai langkah keselamatan di gudang Pos Aviation Sdn Bhd Kompleks Kargo KLIA hari ini. - Gambar Bernama

SEPANG: Kegemparan berlakunya kebocoran radioaktif di terminal Pos Aviation di kawasan KLIA Cargo Village hari ini, akhirnya diperjelaskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bahawa sebenarnya tidak berlaku sebarang kebocoran radioaktif di terminal itu di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pemeriksaan pihaknya bersama Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mendapati hanya berlaku kebasahan di bahagian bawah kotak, yang mengandungi kandungan Iridium 192 Metal Solid, bahan radioaktif yang digunakan bagi tujuan perubatan.

JBPM  menerima panggilan kecemasan pada 10.42 pagi di mana dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA bersama pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikerahkan ke lokasi.

Hafisham berkata JBPM turut memanggil AELB setelah mendapat panggilan berkaitan radioaktif bagi menangani kemungkinan berlaku kebocoran radioaktif pada satu daripada dua kotak bahan perubatan tersebut.

"Setelah diperiksa dengan terperinci, pihak AELB mengesahkan tiada sebarang kebocoran dan kesan basah di bawah kotak tersebut mungkin disebabkan unsur lain, bukannya radioaktif," katanya kepada pemberita yang berkumpul di hadapan kawasan KLIA Cargo Village.

Insiden kebocoran radioaktif yang menyebabkan kakitangannya mengosongkan bangunan dan menghentikan sementara operasinya disahkan Pos Aviation, pengendali perkhidmatan logistik darat, dalam satu kenyataan hari ini.

Hafisham berkata kawasan tersebut disytiharkan selamat pada 3.30 petang, setelah pemeriksaan rapi dijalankan dan kesemua 40 pekerja dibenarkan kembali bertugas.

Bagaimanapun kawasan tempat kotak itu ditempatkan masih ditutup untuk pemeriksaan lanjut sebelum kotak yang mengandungi bahan radioaktif itu diambil semula oleh syarikat yang menghantar barangan tersebut, katanya.

Hafisham memuji keprihatinan tiga petugas Pos Aviation yang peka dengan perubahan pada kotak bahan radioaktif itu, yang melaporkan kepada JBPM untuk tindakan lanjut. 

"Untuk langkah pencegahan, ketiga-tiga mereka ini diletakkan di bawah pengawasan pihak Kementerian Kesihatan bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada sebarang kesan sampingan," katanya.

Berkenaan punca basahan tersebut, Hafisham berkata ia tidak mungkin disebabkan air hujan kerana kawasan tersebut tertutup dan dikawal rapi. - Bernama 


 

Advertisement