Anda di sini

Ramai pemimpin GPS terima notis taksiran cukai dari LHDN - Karim

Advertisement
Abdul Karim pada sidang media di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon
Abdul Karim pada sidang media di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan ramai pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima notis taksiran cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN).

Notis sama turut dihantar kepadanya, katanya sambil menambah, perkara itu berlaku sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan.

"Ramai dalam kalangan kami (pemimpin GPS) menerima semua bentuk notis daripada LHDN termasuk saya sendiri.

"Ya, ada menerima notis (taksiran) dari LHDN tetapi saya menyelesaikannya sendiri...tidak ada masalah kerana saya bukan jenis yang tidak membayar cukai mungkin ada tertinggal di sana sini," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata ia merupakan risiko pekerjaan terutama sebagai wakil rakyat.

"Sebab itulah kita perlu bersedia menghadapi perkara seperti ini," katanya sambil tidak menolak ia antara cara kerajaan PH 'mengganggu' pemimpin-pemimpin GPS.

Mengenai dakwaan Chong Chieng Jen (PH-Kota Sentosa) bahawa beliau orang pertama diarah berhenti ketika berucap atau berbahas pada persidangan DUN, Abdul Karim percaya Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mempunyai kuasa membuat keputusan.

"Saya dimaklumkan, tidak pasti sama daripada beliau sendiri, apa yang berlaku kepadanya adalah yang pertama kali dalam sejarah.

"Saya tidak mahu seperti mengagung-agungkan dirinya sebagai orang pertama dalam apa jua perkara, tetapi beliau telah diberi peluang untuk bercakap tetapi tidak digunakan dengan bijak.

"Speaker mempunyai kuasa dan hak untuk menghentikannya mengikut Perintah Tetap DUN. Speaker mempunyai kuasa yang besar, bukan sahaja menghentikan kamu dari berucap tetapi keluar dewan jika kamu langgar Perintah Tetap sedia ada," ujarnya.

Abdul Karim juga berpendapat tindakan Chong melabelkan Belanjawan Negeri 2020 sebagai belanjawan 'hot air' suatu yang tidak betul.

Terdahulu, Speaker DUN menghentikan Chong terus membahas Belanjawan Negeri 2020 apabila kenyataannya mengatakan belanjawan itu sebagai 'hot air' menyebabkan dewan kecoh.

Chong turut mendakwa Belanjawan Negeri 2020 sama seperti skandal 1MDB yang menyebabkan negara menanggung beban hutang yang banyak.

Dakwaan Chong itu menyebabkan Liwan Lagang (GPS- Belaga) bangkit mempersoalkan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyebabkan dewan kecoh.
 

  • oleh
  • Advertisement