Anda di sini

KPM capai sasaran 90 peratus guru tempatan di Sarawak

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memaklumkan pihaknya telah mencapai sasaran Dasar 90:10 bagi merealisasikan 90 peratus guru di Sarawak adalah dalam kalangan anak tempatan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata sasaran itu dicapai apabila 34,292 jawatan guru di negeri berkenaan sudah diisi guru berasal dari negeri berkenaan.

“Data pada 5 Sept 2019 menunjukkan keperluan guru di Sarawak adalah 38,289 orang. Daripada jumlah itu, 34,292 kekosongan (90 peratus) telah diisi anak kelahiran Sarawak.

“Pihak kementerian telah mencapai sasaran Dasar 90:10 lebih awal.

Kami komited untuk melaksanakan dasar pengisian jawatan guru oleh anak Sarawak ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan.  

Jelas Maszlee, permohonan pertukaran guru ke Sarawak bagi sesi Januari 2020 yang kini dalam pertimbangan kementerian adalah melibatkan 55 permohonan bagi sekolah menengah dan 333 permohonan untuk sekolah rendah.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) yang ingin tahu status terkini Dasar 90:10 dan jumlah permohonan guru untuk kembali ke Sarawak.

Mengenai pertukaran guru kelahiran Kelantan yang kini mengajar di Sarawak, Maszlee berkata kesemua permohonan pertukaran adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

“Kementerian memberikan keutamaan kepada permohonan dengan alasan untuk mengikut pasangan selain kementerian juga mempertimbangkan kelulusan bagi kes seperti sakit kronik dan juga kes ancaman keselamatan,” katanya.

Beliau berkata antara syarat pertukaran lain yang diambil kira adalah tempoh perkhidmatan guru di Sarawak yang telah ditetapkan iaitu lima tahun bagi kawasan bandar manakala masing-masing tiga tahun bagi kawasan luar bandar dan pedalaman.

Maszlee berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) yang ingin tahu jumlah guru kelahiran Kelantan yang mengajar di Sarawak. — Bernama

Advertisement