Anda di sini

'Kerja saya bukan pecat orang' - Dr Mahathir 

 
 bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Dr Mahathir bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama 

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau akan memecat seseorang anggota pentadbiran hanya jika sesuatu yang sangat serius berlaku. 

Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan desakan pihak lain yang menggesa supaya Tan Sri Tommy Thomas dipecat kerana didakwa Peguam Negara itu dilihat kerap menyalahgunakan kuasanya dengan mencampur tangan dalam beberapa kes mahkamah.

“Saya bukan kerja pecat orang. Kadang-kadang orang membuat kesilapan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Tommy atas alasan campur tangan dalam beberapa proses pendakwaan.

Ismail Sabri dilaporkan membuat gesaan itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berikutan tindakan Pejabat Peguam Negara menggugurkan dua pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran berkaitan kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam pada itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata beliau juga berhasrat untuk memecat sesetengah pemimpin pembangkang.

" Saya ingin memecat beberapa anggota pembangkang kerana mereka membuat banyak kesilapan tetapi kita mempunyai kedaulatan undang-undang dan kita mematuhinya, “ katanya. - Bernama