Anda di sini

Dera anak tunang, lelaki dipenjara sembilan tahun

MIRI: Seorang warden letak kereta dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana mendera anak tunangnya yang berusia dua tahun.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Dalam penghakimannya beliau berkata, meskipun kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda namun dalam kes ini, hukuman denda dilihat tidak sesuai kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Tambahan perbuatannya itu bukan hanya sekadar mendatangkan kecederaan tetapi juga mendera.

Mohamad Suharde Umar Sulaiman, 28, dari Jalan Luak Bay 3 di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah menganiaya seorang kanak-kanak lelaki Mohamad Raffiziey Faiqall Md. Faisal berusia dua tahun dua bulan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal ke atas mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumah keluarganya di Jalan Luak Bay 3 di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya, tambahan dia amat menyesal di atas perbuatannya itu.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 28 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan ASP Koay Kok Ping.