Anda di sini

Bakar kereta polis, buruh kena setahun

 Mandy dibawa keluar dari mahkamah setelah dijatuhkan hukuman.
KHIANAT: Mandy dibawa keluar dari mahkamah setelah dijatuhkan hukuman.

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman setahun penjara terhadap seorang buruh setelah mengaku bersalah membakar kereta seorang pegawai polis.

Mandy Sulong, 32, diperintah menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa daripada tarikh dia ditahan iaitu 2 November 2019.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan membakar kereta sedan milik seorang pegawai polis menyebabkan kerugian RM30,000.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 1 November 2019, kira-kira jam 11 malam di Jalan Kampung Hilir dan didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.   

Seksyen 435 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga seorang pegawai polis menerima maklumat berhubung kereta yang dibakar.

Setibanya di tempat kejadian, pengadu bersama pasukannya terlihat sebuah kereta sedang terbakar dan anggota bomba cuba memadamkan kebakaran.

Berdasarkan maklumat saksi di tempat kejadian, tertuduh memulakan kebakaran dengan menggunakan sabut kelapa.

Tertuduh juga dikatakan menggunakan batu bagi memecahkan cermin tingkap kereta sebelum melontarkan sabut kelapa ke dalam kereta terbabit.

Dalam rayuannya, Mandy memberitahu ketika kejadian dia berada di bawah pengaruh alkohol.

Beliau yang merayu dikenakan hukuman ringan juga memberitahu terpaksa menjaga nenek serta adiknya, selain bekerja sebagai buruh.