Anda di sini

AirAsia dinobat Pasukan Perbendaharaan Syarikat Penerbangan Tahunan

Advertisement
 (Dari kiri) Pengarang Urusan Airline Economics Philip Tozer-Pennington, Ketua Kewangan Penerbangan AirAsia Farhan Zainul dan Penasihat Kanan Asia Aviation Capital Aaron Gomez pada majlis anugerah Airline Economics Asia Pacific Aviation 100.
GEMILANG: (Dari kiri) Pengarang Urusan Airline Economics Philip Tozer-Pennington, Ketua Kewangan Penerbangan AirAsia Farhan Zainul dan Penasihat Kanan Asia Aviation Capital Aaron Gomez pada majlis anugerah Airline Economics Asia Pacific Aviation 100.

KUCHING: AirAsia telah dinobatkan sebagai Pasukan Perbendaharaan Syarikat Penerbangan Tahunan pada Anugerah Penerbangan Asia Pasifik 100.

Ketua Kewangan Penerbangan AirAsia Farhan Zainul dan Penasihat Kanan Asia Aviation Capital Aaron Gomez menerima anugerah tersebut pada majlis gala yang diadakan di Hong Kong semalam.

AirAsia meraih anugerah tersebut berdasarkan prestasi kewangan dan pendapatan syarikatnya bagi setiap prestasi penumpang, pesanan pesawat, serta rangkaian dan pengembangan jumlah pesawatnya.

Pada 2018-2019, AirAsia telah memeterai dua portfolio pesawat utama bersama BBAM dan Castlelake LP yang bernilai AS$3.6 bilion.

Kedua-dua transaksi tersebut melibatkan lebih daripada 100 pesawat.

Transaksi tersebut bukan sahaja membuktikan bahawa pasukan itu cekap dalam usaha meraih dana, tetapi juga mampu merangka struktur pembiayaan pesawat dan perkara ini bukanlah perkara yang lazim dalam urus niaga tersebut.

Pada tahun ini juga, AirAsia menjadi bualan global apabila ia membuat pengumuman pada Pertunjukan Udara Paris 2019 hendak menaik taraf pesawat Airbus jenis lorong tunggal dengan menukar 253 tempahan untuk pesawat A320neo kepada Airbus A321neo yang lebih besar.

Pada Ogos 2019 pula, syarikat penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X telah mengembangkan tempahannya bersama Airbus dengan menandatangani perjanjian bernilai AS$5 bilion untuk 12 pesawat Airbus A330-900 dan 30 A321XLR.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan berkata, penjualan operasi pajakan pesawat berkenaan adalah strategi jangka panjang untuk melupuskan aset fizikal mereka.

Ia juga membolehkan mereka untuk meletakkan nilai yang lebih tinggi pada pesawat selain mengelakkan sebarang risiko berbaki.

“Strategi ini membolehkan kami melabur dalam program pengembangan jumlah pesawat dan usaha digital kami.

“Dalam masa yang sama, kami dapat memberikan pulangan kepada para pemegang saham dan memacu visi kami untuk menjadi syarikat platform perjalanan dan kewangan utama di Asia Pasifik,” ujar beliau.

Tambah beliau juga, perkara ini tidak mungkin berlaku sekiranya tiada komitmen daripada pasukan kewangan pesawat.

“Pasukan kewangan pesawat kami sangat komited dan mereka sememangnya layak memenangi gelaran Pasukan Perbendaharaan Syarikat Penerbangan Tahunan,” kata beliau.

Anugerah Majalah Airline Economics Magazine 100 mengiktiraf syarikat-syarikat dalam industri penerbangan yang paling cemerlang selain mengiktiraf syarikat paling inovatif dalam strategi pembiayaan dan pajakan pesawat dalam 12 bulan yang lalu.

Pemenang Anugerah Penerbangan 100 ditentukan oleh tinjauan yang dilakukan secara menyeluruh dalam industri terbabit, proses penyelidikan yang rapi dan pertimbangan daripada para pengarang.

Advertisement