Anda di sini

Turki tangkap kakak pemimpin Daesh al-Baghdadi

Advertisement
 Gambar serahan pegawai keselamatan Turki              menunjukkan Rasmiya Awad yang ditangkap di pekan Azaz              di utara Syria kelmarin. — Gambar Reuters
DITANGKAP: Gambar serahan pegawai keselamatan Turki menunjukkan Rasmiya Awad yang ditangkap di pekan Azaz di utara Syria kelmarin. — Gambar Reuters

WASHINGTON: Turki menangkap kakak pemimpin Daesh Abu Bakr al-Baghdadi yang telah meninggal dunia di pekan Azaz di utara Syria kelmarin dan sedang menyoal siasat suami dan menantu perempuannya yang turut ditahan, seorang pegawai kanan Turki memberitahu Reuters.

Rasmiya Awad, 65, ditangkap ketika serbuan berhampiran Azaz, kata pegawai tersebut, merujuk kepada sebuah pekan Syria yang dikawal oleh Turki berhampiran sempadan. Ketika ditangkap, dia turut ditemani oleh lima anaknya.

“Kami berharap untuk mengumpul maklumat daripada kakak al-Baghdadi mengenai urusan dalaman ISIS,” kata pihak berkuasa.

Hanya sedikit maklumat bebas diperolehi mengenai kakak al-Baghdadi dan Reuters tidak dapat mengesah-kan dengan segera sekiranya individu yang ditangkap adalah dia.

Al-Baghdadi membunuh dirinya sendiri pada bulan lepas ketika dikepung di dalam sebuah terowong semasa serbuan oleh pasukan tentera khas Amerika Syarikat (AS) di barat laut Syria.

Kumpulan Daesh, dalam satu pita audio dihantar secara dalam talian pada Khamis lepas, mengesahkan bahawa pemimpinnya telah meninggal dunia dan berjanji akan membalas dendam terhadap AS.

Al-Baghdadi telah bangkit daripada seorang yang tidak dikenali untuk mengetuai kumpulan ultrapenentang dan mengumumkan dirinya sendiri sebagai “khalifah” untuk semua penduduk Islam, menawan beberapa kawasan luas di Iraq dan Syria dari 2014 hingga 2017 sebelum kawalan oleh  Daesh dirampas oleh tentera pakatan AS termasuk pihak Iraq dan Kurdis Syria.

Kumpulan itu, turut dikenali sebagai ISIS, berkata Abu Ibrahim al-Hashemi al-Quraishi telah dilantik sebagai pengganti al-Baghdadi. Pada minggu lepas seorang pegawai kanan AS menyatakan Washington sedang memburu pemimpin baharu itu bagi menentukan asal usulnya.

Para pemimpin dunia menerima baik berita kematian al-Baghdadi, namun mereka dan pakar keselamatan memberi amaran bahawa kumpulan itu, yang melakukan kekejaman  terhadap puak minoriti dan menakutkan kebanyakan penduduk Islam, kekal sebagai satu ancaman keselamatan di Syria dan tempat lain. — Reuters

Advertisement