Anda di sini

Siasat kesahihan berita sebelum kongsi

 Salsagap (duduk empat dari kanan), Henry (duduk tiga dari kanan) bersama mereka yang diraikan pada majlis itu.
KENANGAN: Salsagap (duduk empat dari kanan), Henry (duduk tiga dari kanan) bersama mereka yang diraikan pada majlis itu.

LAHAD DATU: Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pg Masdal menyeru masyarakat mengambil langkah menyiasat kesahihan suatu berita yang dikongsikan di laman media sosial.

Menurutnya, langkah berhati-hati itu amat penting diamalkan kerana kelalaian berkongsi maklumat yang tidak sahih memberi impak negatif yang besar.

"Kita jangan lupa, kebelakangan ini terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk merosakkan kestabilan dan perpaduan dengan mempengaruhi minda masyarakat menggunakan elemen perkauman dan agama sebagai agenda jahat mereka.

"Media sosial baharu sering menjadi medium fitnah mereka dengan tujuan untuk memporak-porandakan, menghancurkan dan memusnahkan keharmonian dan kemakmuran yang sedang kita nikmati," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Program Sepakat @Komuniti 2019, Apresiasi Bersama Rakan Strategik Peringkat Daerah Lahad Datu yang dibacakan Pegawai Pembangunan Masyarakat DUN Lahad Datu, Salsagap Pg Masdal, di sini, kelmarin.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab semua membantu Jabatan Penerangan dalam tugasnya menyebarkan maklumat sahih dan tepat di samping menghebahkan dasar kerajaan kepada rakyat sehingga ke akar umbi.

Katanya, rakyat juga perlu memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada kerajaan baharu dengan membantu menjayakan aspirasi pembangunan negara yang direncanakan.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Lahad Datu Zamri Pehakan, Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu Masitah Mohd Amin, Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu Henry Nordin.