Anda di sini

Nelayan dipenjara setahun kerana terima harta curi

 Abu Bakar (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman.
KE PENJARA: Abu Bakar (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman.

SIBU: Seorang nelayan dijatuhkan hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menerima harta curi.

Abu Bakar Othman, 37, diperintah menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa semalam oleh Hakim Caroline Bee Majanil.

Mengikut pertuduhan asal, Abu Bakar didakwa bersama Jerry Esa, 35, melakukan rompakan berkumpulan pada 15 Mac 2019, kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah di Jalan Tun Abang Haji Openg.

Dalam kejadian itu, mereka melarikan sebuah gergaji berantai dan mesin pemotong rumput dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Ketika perbicaraan kes, seorang saksi kes telah dipanggil memberi keterangan dan pada masa sama gagal mengenal pasti tertuduh.

Sehubungan itu, pertuduhan terhadap Abu Bakar telah dipinda kepada Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu menerima harta curi.

Jerry yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan asal pada 22 Mac lepas telah dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan dua sebatan oleh mahkamah sama.