Anda di sini

Bukan 'takut dengan bos', cuma kedudukan kewangan tidak mengizinkan - Baru Bian

Baru pada sidang media menjelaskan isu 'takut dengan bos' bersama ADUN Batu Lintang See Chee How.


KUCHING: Kedudukan kewangan tidak mengizinkan menyebabkan projek pembinaan beberapa jambatan di laluan pesisir Sarawak tidak dapat dibiayai Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerja Raya Baru Bian yang berkata demikian menambah, sebagai kerajaan bertanggungjawab mereka tidak mahu meneruskan amalan Barisan Nasional (BN) yang sekadar meluluskan projek.

"Saya rasa jawapan yang lebih tepat ialah kekurangan dana dan ia diwarisi daripada kerajaan BN. Amalan mereka cuma meluluskan (projek) tanpa melihat terhadap kedudukan kewangan.

"Apabila kita mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan kita lihat kedudukan kewangan dan ia amat teruk dan kita enggan menjadikannya lebih buruk," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Baru berkata sebagai kerajaan bertanggungjawab Kerajaan Persekutuan perlu berbelanja dengan betul kerana rakyat mengamanahkan mereka untuk menguruskan dana untuk semua.

"Kita tidak dapat sekadar meluluskan projek kerana hanya ingin popular, itu amalan kerajaan tidak bertanggungjawab. Memang saya ingin membawa dan melaksanakan projek di Sarawak.

"Selagi saya jadi Menteri Kerja Raya saya akan lakukan terbaik untuk membawa projek bukan sahaja infrastruktur tetapi (isu lain) di luar bandar seperti sekolah daif dan jalan di luar bandar," tegasnya.

Menurutnya beliau sangat kecewa apabila dikatakan 'takut dengan bos'.

"Kami tidak takut dengan bos. Sebagai anggota kabinet atau Ahli Parlimen, kita berbincang sesuatu isu secara terbuka, dan tidak lihat pada satu perkara," jelasnya.

Adalah tidak adil untuk mendakwa wakil rakyat PH tidak berjuang untuk hak dan kepentingan Sarawak, katanya.

Peruntukan khas untuk Sarawak katanya meningkat berbanding sebelum ini.

"Jangan memperkecilkan peruntukan diberikan kepada Sarawak. Ini hanya permulaan dan akan terus (memperbaikinya). 

"Kita di sini adalah untuk melakukan yang terbaik demi sarawak," ujarnya.

Sebelum itu, Baru bangun membantah istilah 'takut dengan bos' digunakan Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Telian Yussibnosh Balo.

Yussibnosh bertanya mengenai kemajuan pelaksanaan jalan pesisir.