Anda di sini

Sarawak dalam proses ambil tindakan undang-undang ke atas Petronas: Hasidah

Advertisement
Sharifah Hasidah pada sidang media di Bilik Media, Kompleks DUN, hari ini. - Gambar oleh Muhamad Rais Sanusi
Sharifah Hasidah pada sidang media di bilik media, Kompleks DUN Sarawak hari ini. - Gambar oleh Muhamad Rais Sanusi


KUCHING: Kerajaan Negeri dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu ke atas Petronas jika syarikat itu masih gagal membayar cukai jualan produk-produk Petroleum kepada Sarawak.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata tindakan undang-undang ke atas Petronas adalah di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri.

"Kerajaan Negeri akan bersungguh-sungguh meneruskan usaha ini dan pihak berkuasa relevan berkaitan melakukan apa yang perlu.

"Kita akan menggunakan semua undang-undang yang ada dengan itu semua jumlah (cukai jualan produk petroleum) belum dibayar Petronas dijelaskan. Kita sudah bersedia (untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sharifah Hasidah (GPS- Samariang) memberi jaminan semuanya akan dilaksanakan mengikut undang-undang negeri dalam Ordinan Cukai Jualan.

Menurutnya kerajaan negeri telah mengeluarkan notis taksiran kepada Petronas pada September lalu tetapi sehingga hari ini tiada jawapan daripada syarikat berkenaan.

"Pada awal rundingan mereka (Petronas) meminta agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.

"Selepas semua rundingan dan perbincangan dengan mereka dan selepas kita mengeluarkan notis, yang juga di bawah undang-undang, mereka masih belum membuat bayaran.

"Disebabkan itu kami memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang secepat mungkin ke atas Petronas mengikut Ordinan Cukai Jualan Negeri," katanya.

Sementara itu, Sharifah Hasidah berkata Petronas perlu membayar jumlah cukai yang lebih banyak kepada Sarawak jika syarikat itu terus menangguh pembayaran tersebut.

Beliau berkata caj peratusan tertentu akan dikenakan untuk lewat pembayaran sambil menambah tindakan mengenakan kadar faedah, tertakluk dalam undang-undang.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan jumlah cukai jualan produk petroleum dan kadar faedah yang perlu dijelaskan oleh Petronas kepada Sarawak.

Pada Isnin, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020, berkata Petronas sehingga kini masih belum menjelaskan Cukai Jualan Produk Petroleum sebanyak 5 peratus kepada Sarawak.

Abang Johari juga berkata kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Petronas.
 

  • oleh
  • Advertisement