Anda di sini

Penjaga kanak-kanak dipenjara dua tahun

Advertisement
 Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah.
KE PENJARA: Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah.

SIBU: Seorang wanita berusia 40 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.

Hayati Yaman dari Jalan Permai mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibaca dan dijelaskan kepadanya melalui seorang jurubahasa.

Hakim Mahkamah Sesyen Caroline Bee Majanil menjatuhkan hukuman atas kesalahan yang dikenakan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa daripada tarikh dia ditangkap pada 28 Februari lalu.

Hayati didakwa kerana melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang kanak-kanak di bawah jagaannya yang menyebabkan mangsa mungkin mengalami kecederaan fizikal.

Kejadian itu dikatakan telah berlaku di rumah tertuduh kira-kira jam 10 pagi pada 8 Januari lalu.

Kesalahan itu disenaraikan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, kira-kira jam 1.10 petang pada 8 Januari, pengadu kes itu yang merupakan ibu mangsa menerima panggilan telefon daripada tertuduh yang memintanya mengambil anaknya.

Apabila pengadu tiba di rumah tertuduh untuk mengambil anaknya, dia mendapati mulut anaknya berdarah.

Pengadu kemudian menghantar anaknya pergi ke hospital untuk rawatan.

Selepas pemeriksaan perubatan, doktor yang hadir mendapati gigi bahagian atas mangsa patah dan turut mengalami lebam bahagian atas dan bawah bibir.

Siasatan mendedahkan bahawa tertuduh didapati telah mengabaikan mangsa (tidak menjaga dengan baik) dan menyebabkan dia mengalami kecederaan seperti ini.

Sebagai pekerja, pengadu meninggalkan anaknya di bawah jagaan tertuduh kerana tertuduh menawarkan perkhidmatan menjaga kanak-kanak.

  • oleh
  • Advertisement