Anda di sini

Pasar Seni diwarnai nostalgia kenangan lalu menerusi Konsert KLKL 2019

Advertisement

GEMA muzik dan alunan lagu, ‘Bukalah Hatimu’ didendangkan oleh penyanyi Zarul Umbrella mencuri tumpuan ratusan warga kota dan pengunjung yang hadir menyaksikan Konsert Kenangan Lalu Kuala Lumpur (KLKL) 2019 di perkarangan Pentas Terbuka Pasar Seni pada malam Sabtu.

Pengurus Radio KLfm, Wan Azhan Wan Hamat berkata, konsert anjuran stesen radio itu turut dimeriahkan dengan persembahan 14 lagi penyanyi tempatan lain seperti Ifa Raziah, Tomok New Boys, Ruhil, Roy Kapilla, Raja Ema, Kazar Saisi, Safura, Ezad Lazim, Fauziah Latiff, Elly AXL, Ramlah Ram, Fredo, Datuk Khadijah Ibrahim dan Rahmad Mega sepanjang dua jam konsert dari jam 9 hingga 11 malam.

“Tahun ini kami menyediakan persembahan artis nostalgia era 80-an dan 90-an yang signifikan dengan sambutan 15 tahun segmen Kenangan Lalu Kuala Lumpur KLfm yang bersiaran setiap hari, bermula 4 petang hingga 8 malam,” katanya kepada Bernama ketika ditemui, di Pentas Terbuka Pasar Seni.

Selain itu Wan Azhan berkata konsert itu juga diadakan bersempena sambutan ulang tahun Radio KLfm ke-46 pada 5 November (hari ini).

Beliau berkata, Pasar Seni merupakan lokasi tepat bagi Konsert KLKL 2019 kerana di sini permulaan segalanya dan merupakan tumpuan majoriti warga kota bagi mengimbau kenangan dahulu.

“Objektif konsert ini, kami mahu berikan satu tanda penghargaan atau manifestasi terima kasih kami kepada pendengar setia KLfm terutama yang beri sokongan kepada segmen KLKL dan ini hadiah kami kepada mereka. Saya pasti artis yang kami tampilkan kali ini menepati cita rasa peminat dan pendengar,” katanya. — Bernama

Advertisement