Anda di sini

Mata bengkak Najib, kehadiran di Tanjung Piai jadi perdebatan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes 1Malaysia Development Berhad  (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menegaskan bahawa ia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang cubaan untuk mengelirukannya.

Ini ekoran kehadiran Najib pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu di sebalik mendapat cuti sakit (MC) satu hari daripada menghadiri perbicaraan itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat peringatan itu berikutan permohonan oleh pendakwa utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram supaya mahkamah mengenakan sekatan ke atas bekas perdana menteri itu.

“Mahkamah ini tidak akan bertolak ansur dengan apa-apa percubaan untuk mengelirukannya. Sekiranya keperluan itu timbul, mahkamah tidak akan teragak-agak untuk mengenakan hukuman atas penghinaan.

“Tetapi setelah mendengar kedua-dua belah pihak, mahkamah tidak melihat sebarang keadaan untuk mengenakan sekatan,” kata Hakim Sequerah setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, Sri Ram menegaskan bahawa pihak pendakwaan telah menerima arahan daripada Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas untuk meminta mahkamah mengenakan sekatan terhadap Najib dengan menyekatnya sekitar Wilayah Persekutuan dan melaporkan diri kepada balai polis yang paling dekat dengan rumahnya setiap hari Sabtu bermula jam 9 pagi.

Sri Ram berkata, pihaknya memohon perkara ini kerana adalah satu keajaiban masalah mata boleh sembuh dengan pantas selepas Khamis dan Najib kemudian boleh berada di Johor.

Beliau berkata, orang ramai membantah dan pihak pendakwaan menerima banyak aduan dan satu laporan polis juga telah dibuat oleh seseorang terhadap isu tersebut.

“Kami katakan bahawa tertuduh menyalahgunakan MC untuk mendapatkan penangguhan dan memanjangkan perbicaraan. Perlu ada sekatan kerana menghina prosiding mahkamah,” kata Sri Ram.

Bagaimanapun, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa Thomas tidak melakukan penyelidikan yang betul dan hanya mengeluarkan arahan kepada pasukan pendakwaan ketika beliau (Thomas) berada di luar negara.

Muhammad Shafee berkata MC tersebut hanya untuk satu hari dan Najib berupaya pergi ke Johor kerana kegatalan pada matanya telah hilang, namun bengkaknya masih ada.

Beliau mencabar individu yang membuat laporan polis itu agar berani tampil ke mahkamah dan membuat aduan.

Khamis lepas, perbicaraan terpaksa ditangguhkan kerana Najib memperoleh MC satu hari kerana alergi mata yang dikatakan membuatkan matanya membengkak dengan kerengsaan dan kesakitan.

Najib, 66, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah diteruskan. — Bernama