Anda di sini

Lebihan dagangan Malaysia meningkat 15.3% Jan-Sept 2019

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebihan dagangan Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019 meningkat sebanyak 15.3 peratus kepada RM100.86 bilion, berbanding RM87.47 bilion dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Ini merupakan lebihan dagangan terbesar dicatatkan bagi tempoh Januari-September dalam tempoh 10 tahun lepas, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan semalam.

Pada September 2019, lebih dagangan bernilai RM8.34 bilion, merosot 46.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y).

Pada asas bulanan, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing turun 3.1 peratus, 4.5 peratus, 1.6 peratus dan 23.5 peratus.

Jumlah dagangan pada suku ketiga 2019 (3Q19) menguncup 3.7 peratus kepada RM460.53 bilion berbanding Q3 2018.

Jumlah eksport mencecah RM247.02 bilion, 1.9 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas manakala import menguncup 5.8 peratus kepada RM213.51 bilion.

Lebihan dagangan 3Q19 merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 33.3 peratus kepada RM33.51 bilion daripada RM25.14 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Eksport barangan pembuatan pada September 2019 menguncup 5.8 peratus kepada RM66.34 bilion atau 85.4 peratus daripada jumlah eksport, terutamanya disebabkan oleh pengurangan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum, kimia dan bahan kimia serta tekstil, pakaian dan kasut.

Bagaimanapun, peningkatan dicatatkan dalam eksport kelengkapan pengangkutan, peralatan optik dan saintifik serta jentera, peralatan dan alat ganti.

Eksport barangan perlombongan (7.3 peratus saham) merosot 15.2 peratus kepada RM5.69 bilion disebabkan oleh penurunan eksport petroleum mentah berikutan jumlah lebih rendah dan Nilai Unit Purata (AUV).

Eksport barangan pertanian (perkongsian 6.7 peratus) turun 8.3 peratus kepada RM5.17 bilion disebabkan oleh penurunan eksport produk petanian kelapa sawit dan berasaskan minyak sawit, terutamanya minyak sawit yang merosot 9.3 peratus kepada RM3.05 bilion berikutan jumlah lebih rendah dan AUV.

Perdagangan dengan ASEAN pada September 2019, yang meliputi 26.2 peratus daripada jumlah perdagangan telah merosot sebanyak 8.1 peratus y-o-y kepada RM38.54 bilion.

Eksport ke ASEAN menurun sebanyak 8.6 peratus kepada RM21.62 bilion, berikutan penurunan eksport barangan E&E.

Dagangan dengan China meningkat semula sebanyak 3.8 peratus pada September 2019 selepas merosot 7.9 peratus pada Ogos, manakala perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) menurun sebanyak 3.3 peratus y-o-y kepada RM13.47 bilion.

Sementara itu, perdagangan dengan Amerika Syarikat pada September 2019 naik 3.8 peratus y-o-y kepada RM13.79 bilion, menyumbang 9.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia. — Bernama

Advertisement