Anda di sini

Kerajaan Negeri Sarawak dalam kajian ambil alih Pelabuhan Bintulu - Julaihi

Advertisement
Julaihi pada sidang media di Kompleks DUN hari ini.
Julaihi (kiri) pada sidang media di Kompleks DUN hari ini. Turut kelihatan, Aidel.

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak kini dalam proses mengkaji untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu dan entiti Persekutuan yang lain di negeri ini, kata Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, sesuai dengan perkembangan semasa, kajian itu adalah untuk mencari cara terbaik memastikan pengurusan pelabuhan di Sarawak dapat diperkukuhkan.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini. 

Aidel bertanya apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk mengambil alih sepenuhnya Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan. 

Aidel seterusnya bertanya, apakah status tanah yang merupakan tapak Pelabuhan Bintulu dan pegangan saham Kerajaan Negeri di dalamnya.

Julaihi berkata, tanah tersebut adalah milik Kerajaan Negeri yang dipajak kepada Pelabuhan Bintulu selama 99 tahun.

"Tapak tanah di Pelabuhan Bintulu sekarang ialah milik Kerajaan Negeri Sarawak yang dipajakkan mulai 5 Mac 1983 sehingga 4 mac 2082 dengan pajakan RM1.5 juta setahun. 

"Selepas habis tempoh itu, tanah itu milik Kerajaan Negeri Sarawak," jelasnya. 

Dari segi saham, katanya Kerajaan Negeri memiliki pegangan 39.71 peratus dalam Bintulu Port Holdings Berhad.

Pegangan saham ini adalah menerusi Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak sebanyak 26.67 peratus dan Equisar Assets Sdn Bhd, anak syarikat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak menerusi 13.04 peratus.

  • oleh
  • Advertisement