Anda di sini

Jutaan terjejas jerebu di New Delhi

Advertisement
 Wanita Hindu memuja Dewa Matahari sambil berendam di dalam air tercemar Sungai Yamuna semasa festival Chatth Puja di New Delhi, kelmarin. — Gambar Reuters
JEREBU TEBAL: Wanita Hindu memuja Dewa Matahari sambil berendam di dalam air tercemar Sungai Yamuna semasa festival Chatth Puja di New Delhi, kelmarin. — Gambar Reuters

NEW DELHI: Berjuta-juta orang di bandar utama India memulakan hari pertama minggu ini dalam keadaan sesak nafas akibat jerebu yang menyakitkan mata, dengan sekolah-sekolah ditutup, kereta-kereta dilarang daripada digunakan di jalan raya dan kerja-kerja pembinaan ditangguhkan.

Jerebu beracun yang menyelubungi New Delhi setiap musim sejuk berpunca daripada asap kenderaan, pengeluaran asap kilang dan asap akibat pembakaran pertanian di negeri-negeri jiran.

Namun krisis terbaharu bertambah teruk sejak tiga tahun lepas dan Ketua Menteri New Delhi Arvind Kejriwal menyeru beberapa langkah untuk menangani apa yang dikatakan sebagai pencemaran yang tidak tertanggung.

“Terdapat asap di mana-mana sahaja dan orang ramai, terutama golongan muda, kanak-kanak, golongan tua mengalami kesukaran untuk bernafas,” Kejriwal menyatakan dalam video Twitter kelmarin.

“Mata berasa panas dan berair. Pencemaran kali ini sangat buruk.”

Kerajaan Kejriwal telah mengarahkan separuh daripada kereta persendirian di bandar ini tidak digunakan di jalan raya, berdasarkan kepada sistem nombor pendaftaran genap-ganjil.

Sekolah-sekolah, yang ditutup sejak Jumaat minggu lepas, masih lagi ditutup semalam, dan kegiatan pembinaan dihentikan sehingga hari ini di Delhi dan kawasan sekeliling.

Kejriwal menyatakan pihak berkuasa turut mengagihkan topeng muka kepada pelajar sekolah.

Bahagian lain di negara ini turut dilanda jerebu, Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat menyatakan kelmarin.

Pihak berkuasa telah membawa sebuah van dengan alat pembersih udara ke Taj Mahal, kawasan pelancongan utama di negara ini terletak 250 kilometer di selatan Delhi, dengan kebimbangan pencemaran akan menjejaskan bangunan marmar kurun ke-17 itu, lapor Press Trust of India.

Dengan pilihan raya negeri dijangkakan di Delhi pada awal 2020, krisis pencemaran turut menjadi punca perbalahan politik, dengan setiap pihak mempersalahkan pihak lain bagi keadaan yang teruk.

Kejriwal, yang menyamakan Delhi dengan sebuah ruang gas pada Jumaat lepas, menyatakan bandarnya telah menjalankan tugasnya bagi menangani pencemaran sebaliknya menyalahkan pembakaran sisa gandum di ladang-ladang di luar ibu negara sebagai punca jerebu.

Namun menteri alam sekitar negara Prakash Javadekar menuduh Kejriwal sebagai menjadikan isu tersebut sebagai satu bahan politik, sementara seorang Ahli Parlimen pihak pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP) menolak peraturan kereta genap-ganjil sebagai satu aksi dan berkata bahawa beliau merancang untuk tidak mengendahkannya.

Sekumpulan pencinta alam sekitar telah menulis kepada Perdana Menteri Narendra Modi kelmarin menggesa beliau untuk mengambil tindakan kepimpinan tentang isu tersebut.

Pihak pencinta alam sekitar menyatakan parti politik tidak bercadang untuk membaiki kesalahan ketika rakyat India sendiri terus menjadi korban, lapor PTI.

India telah berdepan dengan krisis pencemaran yang semakin buruk sejak dekad lepas.

Sebanyak 14 bandar di India termasuk bandar utamanya adalah antara 15 bandar paling tercemar di dunia, menurut kepada  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beberapa pakar memberikan amaran bahawa kedua-dua pihak dan kerajaan negeri perlu untuk melakukan sesuatu yang berbeza selain penyelesaian jangka pendek dan menangani penyebab utama pencemaran sekiranya kualiti udara berubah dalam jangka masa panjang.

Penyelesaian sementara tidak boleh menjadi satu tambahan dalam menyatakan tentang sumber pencemaran udara kronik jangka panjang, Daniel Cass, timbalan presiden kanan bagi kesihatan alam sekitar untuk badan bukan mengaut keuntungan global Vital Strategies, memberitahu AFP.

Beliau menyatakan penyekatan pengeluaran harus dilaksanakan terhadap motosikal dan skuter, yang banyak digunakan di Delhi namun dikecualikan daripada skim genap-ganjil, serta menyeru pelaburan dalam pengangkutan awam. — AFP

Advertisement