Anda di sini

Impian penduduk tanah tinggi miliki jalan tercapai melalui jajaran Sarawak-Sabah Link Road

Advertisement
.Baru ketika melancarkan SSLR di Long Sebangang,Bukit Berikau hari ini.
Baru ketika melancarkan SSLR di Long Sebangang, Bukit Berikau hari ini.

LAWAS: Penantian 56 tahun penduduk di tanah tinggi dekat sini untuk memiliki jalan raya sempurna akan  tercapai dengan pelaksanaan projek jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) bernilai RM5.2 bilion yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei.

Menteri Kerja Raya Baru Bian memberi jaminan projek jalan sepanjang 425 kilometer yang dilaksanakan secara berperingkat dimulakan suku pertama tahun depan.

Pakej pertama bermula dari Lawas melalui Long Sukang seterusnya ke Long Lopeng dan berakhir di Kampung Pa' Berunut, melibatkan jumlah jajaran sepanjang 90 kilometer dan dijangka siap pada 2024.

Manakala, pakej kedua akan melibatkan jajaran utama sepanjang 160 kilometer bermula dari Kampung Pa' Berunut sehingga ke Long Lama dan jajaran jalan susur sepanjang 175 kilometer yang dijangka siap menjelang 2030.

"Saya memberi jaminan projek jalan SSLR yang dinanti penduduk pedalaman tanah tinggi di sini sejak 56 tahun akan dilaksanakan dan bukannya (sekadar) janji.

"Kita sudah mendengar janji, sejak dulu tetapi saya datang dari kawasan ini dan tahu  kesusahan yang dihadapi, selaku menteri yang bertanggung jawab saya akan memastikan projek ini akan dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Projek SSLR hujung Jalan Long Sebangang-Bukit Berikau di sini hari ini.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan berkata pakej pertama akan bermula dari Lawas melalui Long Sukang seterusnya ke Long Lopeng dan berakhir di Kampung Pa' Berunut melibatkan jajaran sepanjang 90 kilometer.

Katanya lagi selepas lebih 56 tahun pembentukan Malaysia, Kerajaan Persekutuan julung kalinya meluluskan projek pembinaan jalan raya berturap merupakan ‘last frontier’ yang 
menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah, menggantikan laluan balak sedia ada.

Jelasnya lagi SSLR juga merupakan jalan perhubungan darat pertama yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei. 

"Ini sudah pastinya memudahkan perjalanan pengguna jalan raya yang tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan sempadan di pos kawalan Imigresen Malaysia–Brunei sebanyak lapan kali sekiranya menggunakan jajaran jalan pantai sedia ada dan jajaran Lebuhraya Pan Borneo. 

"Masalah berkaitan imigresen di pintu sempadan yang lama membelenggu pengguna jalan raya di sini akan ditangani sekali gus meningkatkan keselesaan, keselamatan dan taraf perhubungan jalan raya,"ujarnya lagi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia (Sektor Pakar) Ir. Kamaluddin Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia (Sektor Infra) Ir.  Zulakmal Sufian, Setiausaha Bahagian KKR Datuk Zahrul Hakim Abdullah dan Senator Alan Ling.
 

  • oleh
  • Advertisement