Anda di sini

D’X Band juara Battle of the Bands Peringkat PMTTD Tahun 2019

Advertisement
 

KUCHING: Pertandingan Battle of the Bands Peringkat Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) Tahun 2019 menyaksikan D’X Band dari Batalion ke-10 Rejimen Renjer Diraja, Kem Muara Tuang dinobatkan sebagai juara.

Sekaligus, membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM1,500 dan bakal mewakili PMTTD dalam pertandingan ke peringkat yang lebih tinggi.

Naib johan pertandingan yang sama adalah D’Bampfylde dari Kem 1 Divisyen membawa pulang wang tunai RM1,000 sementara di tempat ketiga, D’Asolute Green dari pasukan Rejimen ke 4 Kor Armor Diraja, Kem Penrissen membawa pulang tunai RM500.

Antara lain penganjuran pertandingan adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu dan kualiti serta mencungkil bakat baru dalam penciptaan lagu patriotik ketenteraan.

Pertandingan itu turut menyaksikan The Red Hackle dari 3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) di tempat keempat, The Croc Huntez dari Batalion Ketiga Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) di tempat kelima dan Viking Stripe dari Batalion Dua Puluh Dua Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD).

 D’X Band membuat persembahan selepas dinobatkan sebagai pemenang baru-baru ini.
PERSEMBAHAN JUARA: D’X Band membuat persembahan selepas dinobatkan sebagai pemenang baru-baru ini.

Sebelum ini, sebanyak 15 buah kumpulan dari pasukan dari Sabah dan Sarawak di bawah naungan PMTTD mengambil bahagian dengan mempersembahkan tiga kategori lagu iaitu kategori Lagu Ciptaan Patriotik, Lagu Instrumental dan Lagu Parodi yang diadakan di Dataran Kem Muara Tuang bermula 2 sehingga 3 November lepas.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral  Datuk Wira Zamrose Mohd Zain telah menyempurnakan perasmian pertandingan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Turut hadir adalah Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Dato Md. Din  Abu, Panglima 3 Briged Brigidier Jeneral Isa Jaafar, Panglima 5  Briged, Brigedier Jeneral Dato Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Rahman A. Wahab dan Panglima 31 Briged Brigidier Jeneral Dato Johnny Lim Rng Seng.

Konsep pertandingan ini menekankan kepada penciptaan lagu patriotik ketenteraan dan kreativiti.

Advertisement