Anda di sini

Bicara kes tipu bekas jurutera pesawat, 17 Jan

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Jan tahun hadapan bagi perbicaraan kes seorang lelaki atas tuduhan menipu seorang bekas jurutera pesawat Malaysia Airlines Berhad, berkaitan aktiviti pengubahan wang haram, September lepas.

Hakim Diana Md Razali menetapkan tarikh itu pada prosiding sebutan semula kes itu, semalam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat memaklumkan pihaknya telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kes kepada peguam A. Partheeban yang mewakili tertuduh, Muhamad Hasim Zulfahmi, 32 tahun.

Pada 4 Oktober lepas, Muhamad Hasim mengaku tidak bersalah telah memperdayakan Mohd Sharif Kamso, 64, supaya menyerahkan wang tunai RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh.

Wang itu diberikan kononnya mangsa didapati terlibat aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta yang tidak wujud yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut kepada tertuduh sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang suspek yang masih bebas, di RHB Bank cawangan Bandar Baru Nilai, kira-kira jam 1.30 petang, 24 Sept lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Hakim Diana menetapkan 16 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang lelaki yang didakwa menipu seorang ahli perniagaan untuk membeli pingat atau gelaran darjah kebesaran daripada kerajaan Melaka dua tahun lepas.

Sebutan semula itu bagi tujuan penyerahan beberapa dokumen yang masih belum lengkap termasuk penyata akaun.

Mengikut pertuduhan, Tuan Mochtar Tuan Abdul Malek, 34, didakwa telah menipu Lim Siang Yoong, 39, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu mendapatkan pingat atau gelaran darjah kebesaran daripada kerajaan negeri Melaka. — Bernama