Anda di sini

Penjara 37 tahun, 20 sebatan rogol anak tiri

Advertisement
Tertuduh diiringi polis keluar dari kamar mahkamah hari ini.
Tertuduh diiringi polis keluar dari kamar mahkamah hari ini.

KUCHING: Seorang bapa tiri dipenjara 37 tahun serta dikenakan 20 sebatan oleh Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak di sini, hari ini kerana menyentuh seluruh badan, mencium dan merogol anak tirinya.

Tertuduh yang berasal dari Lundu itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Jason Juga sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Pada Julai lalu, tertuduh masuk ke dalam bilik mangsa di rumah mereka di Kampung Biawak, Lundu, lalu menyentuh seluruh tubuh badan serta mencium mulut anak tirinya.

Tertuduh turut merogol mangsa dalam kejadian antara jam 7 petang hingga 2 pagi itu. 

Akibat kejadian terbabit, mangsa takut hendak pulang ke rumah memandangkan tertuduh tinggal serumah bersamanya.

Mengikut fakta kes juga, kejadian pertama berlaku di tempat yang sama pada empat tahun lalu iaitu ketika mangsa berusia 12 tahun.
 
Mangsa sedang bermain dengan telefon bimbitnya di dalam bilik sebelum tertuduh masuk secara tiba-tiba dan membuka pakaian mangsa lalu merogolnya.

Pada waktu itu juga, mangsa cuba melawan dan menjerit, namun usahanya gagal. 

Rentetan peristiwa itu, tertuduh mengulangi perbuatan sama selama beberapa kali sehingga mangsa kini mencecah usia 15 tahun.

Kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian, mangsa pada 11 Oktober lalu bertindak membuat laporan polis. 

Justeru, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan kerana merogol, melakukan sumbang mahram dan melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Pertuduhan pertama dibuat pada 29 Oktober lalu mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol.

Dia dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi kesalahan ini.

Pertuduhan kedua pada hari ini pula menyaksikan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376B KK kerana melakukan sumbang mahram dan dipenjara 18 tahun serta dikenakan sembilan sebatan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh disebat.

Tertuduh juga dipenjara sembilan tahun dan dikenakan lima sebatan pada hari ini selepas mengaku salah di bawah Seksyen 14 (1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Soaca) 2017 kerana menyentuh tubuh dan mencium mulut mangsa.

“Hukuman bagi Seksyen 376B KK dan Seksyen 14 (Soaca) diarahkan untuk berjalan serentak bermula hari ini,” ujar Hakim Jason ketika menjatuhkan hukum.

Oleh itu, secara keseluruhannya, tertuduh berhadapan hukuman penjara 28 tahun dan 20 sebatan bagi kesalahan-kesalahan terbabit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement