Anda di sini

Bruce Springsteen selami jiwanya dalam filem ‘Western Stars’

Advertisement
 Gambar fail yang diambil pada 11 Julai 2016 menunjukkan  Springsteen membuat persembahan bersama  The E Street Band di AccorHotels Arena di Paris. Walaupun lagu-lagu Springsteen adalah bahagian yang bertenaga dalam buku lagu kontemporari di Amerika, dia kerap menggunakan lirik-liriknya untuk menyuarakan keraguannya yang mendalam tentang ungkapan ‘American dream’. — Gambar AFP
GUNA LIRIK SUARAKAN KERAGUAN: Gambar fail yang diambil pada 11 Julai 2016 menunjukkan Springsteen membuat persembahan bersama The E Street Band di AccorHotels Arena di Paris. Walaupun lagu-lagu Springsteen adalah bahagian yang bertenaga dalam buku lagu kontemporari di Amerika, dia kerap menggunakan lirik-liriknya untuk menyuarakan keraguannya yang mendalam tentang ungkapan ‘American dream’. — Gambar AFP

WALAUPUN lagu-lagu Bruce Springsteen adalah bahagian yang bertenaga dalam buku lagu kontemporari di Amerika, dia kerap menggunakan lirik-liriknya untuk menyuarakan keraguannya yang mendalam tentang ungkapan ‘American dream’ (impian Amerika).

Dengan ‘Western Stars’, sebuah filem cereka sepenuhnya yang kini ditayangkan di pawagam AS dan merupakan hasil pertama ‘The Boss’ sebagai pengarah, anak jati kegemaran New Jersey itu sekali lagi meneliti satu persoalan yang digelutinya selama berdekad-dekad: pergumulan di antara kebebasan sementara dengan kehidupan bersama atau komunal.  

Filem konsert yang penuh tafakur itu memaparkan sorotan menyeluruh di atas kawasan yang amat luas di California – fikirkan kuda liar, sebuah kereta lasak di jalan terbuka dan pokok kaktus yang disinari matahari terbit berbentuk bunga  mawar – diselit dengan rakaman video keluarga Springsteen.

Ia boleh dianggap sebagai penggantian ikon berusia 70 tahun itu bagi jelajah untuk mempromosikan usaha solonya yang terbaharu.

Springsteen memainkan album 13 lagu ‘Western Stars’ sepenuhnya di dalam filem tersebut – ia mengingatkan kembali zaman keemasan dunia muzik Laurel Canyon pada era 1970an – dengan sokongan daripada anggota kumpulan termasuk isterinya Patti Scialfa selain orkestra.

Persembahan secara langsung yang dirakam itu, difilemkan dalam sebuah bangsal di atas hartanah Springsteen di New Jersey, memaparkan kresendo alat bertali menyeluruh yang menonjolkan kemesraan yang mewah – versi pendengaran bagi memasuki tab air panas di tengah gurun pada waktu senja.

Namun seri muzik yang samar-samar dikontraskan dengan sisi renungan dalaman artis itu yang tajam, apabila Springsteen menimbang hantu-hantu yang dia pendam dan kesakitan yang dia telah lakukan selepas hampir setengah abad dalam dunia hiburan.

“Ia adalah mudah untuk lupa diri – atau tidak pernah mengenali diri,” kata suara latarnya dalam filem itu.

“Semakin tua anda, semakin berat bagasi yang anda belum selesaikan.”

Sambil menimbang “bahagian yang memusnahkan” dalam jati dirinya, Springsteen berkata dalam kehidupannya yang lebih muda, “jika saya sayang anda, saya akan cuba melukai anda”.

“Anda lari sehingga anda meninggalkan segalanya yang anda sayangi dan yang menyayangi anda balik,” katanya.

“Saya telah melakukan banyak larian seperti itu.”

- ‘Hidup dengan niat baik’ -

Walaupun kemasyhurannya berakar-umbi dalam kemahirannya sebagai pemuzik, Springsteen sebagai pengarah tidak semestinya sesuatu yang sukar: penghibur itu sudah sekian lama memenuhi lirik-liriknya dengan kualiti sinematik.

Bintang yang sasa itu muncul di atas pentas antarabangsa pada 1975 dengan lagu ‘Born to Run’, untuk membawa audiens ke dalam bandar kecil yang suram di Amerika dan memaparkan keinginan orang muda untuk menikmati keseronokan.

‘Western Stars’, albumnya yang ke-19, menandakan peralihan yang tajam daripada irama rock pacuan keras yang sudah sinonim dengannya dan menceritakan semula tentang kebiasaan dalam kehidupan harian dan pergelutan kolar biru, menjadikannya seorang wira kelas buruh.

Namun Springsteen mengekalkan unsur penceritaan yang dipacu oleh jati diri yang sudah sekian lama membentuk karyanya, berkisar sekitar kisah seorang bintang filem koboi (Western) yang sepi dan musnah, terumbang-ambing dan mencari asal usulnya.

Springsteen menganggap ‘Western Stars’ – yang dia arah bersama Thom Zimny – filem ketiga dalam trilogi yang bermula dengan memoirnya yang disanjung ramai pada 2016 dan pertunjukan intimnya yang amat berjaya sekali di Broadway.

Bintang rock itu bersikap terbuka mengenai pertarungannya dengan kemurungan dan kebencian diri, dan berkata secara terbuka bahawa dia sudah menerima terapi selama berdekad-dekad dan terus berhasrat, seperti apa yang dia sebut dalam filem itu, untuk “hidup dengan niat baik”.

“Hilang adalah sesuatu yang saya pandai tulis,” katanya. “Tertarik kepada kesakitan rasa lebih biasa.”

“Kita tidak tahu bagaimana untuk terus berpaut pada cinta tetapi kita tahu bagaimana untuk berpaut pada kelukaan.”

Scialfa, isterinya hampir selama 30 tahun dan anggota kumpulannya yang terkenal E Street Band, bermain gitar dan bernyanyi dalam filem itu, tetapi juga menawan dalam video keluarga yang merakamkan saat pasangan itu berbulan madu.

Springsteen mengenangkan hari-hari pada awal percintaan mereka yang dihabiskan di atas bangku taman di hadapan Empire Diner, New York, di mana dia akhirnya membuat lamaran.

“Bila kita muda, segalanya mengenai ke mana saya mahu pergi, membuat apa yang saya mahu buat, saya akan menjadi siapa yang saya mahu jadi, dan itu adalah okay bila kita dalam lingkungan usia 20an,” katanya kepada pengacara program bual bicara larut malam Jimmy Kimmel baru-baru ini.

“Namun dalam lingkungan 30an, ia mula mengejar anda dan takrifan anda bagi kebebasan perlu berkembang untuk merangkumi keluarga, kehidupan sivik anda, komuniti di mana anda melibatkan diri,” tambahnya.

“Jika tidak, anda akan tersisih, tahu tak? Benar-benar tersisih.” — AFP

Advertisement