Anda di sini

Korban dalam tunjuk perasaan antikerajaan di Chile cecah 23

Advertisement
 Penunjuk perasaan melontar batu ke arah anggota pasukan keselamatan semasa                 demonstrasi antikerajaan di Santiago, Chile kelmarin. — Gambar Henry Romero/Reuters
GANAS: Penunjuk perasaan melontar batu ke arah anggota pasukan keselamatan semasa demonstrasi antikerajaan di Santiago, Chile kelmarin. — Gambar Henry Romero/Reuters

BUENOS AIRES: Sekurang-kurangnya 23 orang maut dalam tunjuk perasaan anti-kerajaan bagi membantah dasar-dasar ekonomi di Chile, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Pejabat Pendakwa negara itu.

Dalam satu kenyataan di media sosial pada Khamis, Pejabat Pendakwa Chile berkata kematian terbabit berlaku antara 19 Oktober ketika perintah darurat diisytihar, dan 26 Oktober.

Kenyataan itu menyebut 16 orang maut selepas dijadikan tebusan dan dirompak, lima terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan dan dua lagi meninggal dunia semasa berada dalam tahanan.

Identiti seorang penunjuk perasaan yang dibakar sehingga mati belum dikenal pasti, namun siasatan berhubung kes itu sedang dilakukan.

Tunjuk perasaan anti-kerajaan itu, yang bermula sebagai tindak balas terhadap kenaikan tambang pengangkutan awam yang kini digantung, telah bertukar ganas pada 19 Oktober.

Semasa rusuhan berlaku, sejumlah 49 stesen kereta api bawah tanah dimusnahkan dan 26 bas telah dibakar.

Lebih 9,200 orang telah ditahan di seluruh negara, menurut Kementerian Kehakiman.

Para penunjuk perasaan merancang untuk meng-adakan lebih banyak bantahan secara besar-besaran pada hujung minggu untuk mendesak peletakan jawatan Presiden Sebastian Pinera, yang telah menggantikan lapan anggota kabinet termasuk menteri dalam negeri dan menteri kewangan.

Pada 18 Oktober, penunjuk perasaan melompat melepasi lawang putar di stesen metro di Santiago tanpa membayar harga tiket sebagai membantah kenaikan tambang sebanyak empat peratus.

Pinera turut mengumumkan beberapa konsesi, termasuk menarik balik keputusan menaikkan tambang, meningkatkan gaji minimum dan menangguhkan kenaikan caj elektrik sehingga tahun depan dalam usaha mengekang tunjuk perasaan itu.

Separuh daripada pekerja di Chile memperoleh pendapatan sebanyak AS$550 atau kurang setiap bulan, menurut statistik pihak berkuasa negara itu.

Tunjuk perasaan anti-kerajaan itu terus diadakan di seluruh negara namun kadar penyertaannya adalah lebih rendah secara relatif. — Bernama

Advertisement