Anda di sini

‘House of the Dragon’ siri prekuel fenomena TV global ‘Thrones’

Advertisement
NAOMI WATTS
NAOMI WATTS

SIRI prekuel kepada fenomena TV global ‘Game of Thrones’ sudah diarahkan, umum WarnerMedia baru-baru ini, sebelum ia melancarkan butiran untuk khidmat striming baharunya HBO Max.

Siri baharu dalam dunia fiksyen Westeros rekaan George RR Martin itu akan berlangsung 300 tahun sebelum siri fantasi epik ‘Thrones’ dan akan dipanggil ‘House of the Dragon’.

Siri itu berdasarkan buku ‘Fire and Blood’, yang menceritakan kisah keluarga Targaryen yang kejam dan menternak naga.

“Saya dengan gembira mengumumkan pada hari ini bahawa kami telah mengarahkan ‘House of the Dragon’ terus kepada siri untuk HBO,” kata Casey Bloys, selaku presiden pengaturcaraan, di satu acara pelancaran HBO Max di Los Angeles.

“Ia menceritakan kisah Kerabat Targaryen dan zaman awal Westeros.”

‘Thrones’, yang terkenal kerana adegan seks dan keganasannya yang grafik selain nilai penerbitan dan bajetnya yang luar biasa, menamatkan siarannya selama lapan musim pada awal tahun ini dengan 59 anugerah Emmy – satu rekod bagi sebuah drama atau komedi dalam versi televisyen bagi anugerah Oscar.

Prekuel baharu telah dicipta bersama oleh Martin dan Ryan Condal (‘Colony’), yang akan menulis siri 10 episod dan bertindak sebagai penerbit di samping Miguel Sapochnik.

Sapochnik mengarah beberapa episod ‘Game of Thrones’ termasuk ‘Battle of the Bastards’ yang memenangi anugerah Emmy.

HBO Max, pencabar baharu Netflix milik WarnerMedia, akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada Mei, dengan kos AS$14.99 sebulan.

Platform itu akan memaparkan program asal termasuk hak striming fiksyen sains eksklusif arahan Ridley Scott kepada kartun satira ‘South Park’.

Ia akan menawarkan kandungan kira-kira sepanjang 10,000 jam pada waktu pelancaran, termasuk kesemua 23 musim ‘South Park’ dan tiga musim baharu yang akan menyusul.

Siri asal amnya akan dikeluarkan secara mingguan, dan tidak dimasukkan secara serentak untuk tontonan maraton, kerana “kami suka mewujudkan impak budya”, kata Ketua Pegawai Operasi (COO) HBO Max, Kevin Reilly.

“Pencipta kami juga melihat kelainan dalam mengeluarkan program secara perlahan-lahan dan membiarkannya bernafas,” kata Reilly.

“Siri HBO yang popular seperti ‘Succession’ dan ‘Chernobyl’ menjadi sebahagian daripada sajian dengan jadual keluaran mingguan, dan bukannya pudar dengan cepat selepas tontonan maraton dan keletihan.”

Kandungan asal akan menyaksikan Scott menerbit dan mengarah siri fiksyen sains baharu ‘Raised by Wolves’, mengenai “dua android yang ditugaskan untuk membesarkan kanak-kanak manusia di sebuah planet misteri”.

Dua siri adiwira DC baharu – program antologi ‘Strange Adventures’ dan sebuah siri yang diilhamkan oleh ‘Green Lantern’ – akan diselia oleh Greg Berlanti (‘Arrow’).

Sebuah lagi program bertemakan DC, komedi ‘DC Super Hero High’, diumumkan oleh Elizabeth Banks (‘Charlie’s Angels’), manakala Mindy Kaling menyelia sebuah komedi baharu bertemakan rakan sebilik di kolej.

Platform itu akan memaparkan dari pelancaran sebuah perpustakaan termasuk ‘Friends’ – yang digambarkan oleh Reilly sebagai “puncak  tajuk striming” terima kasih kepada audiens rangkaian asal dan pendatang baharu Generasi Z – dan sitkom popular ‘The Big Bang Theory’.

Pelanggan HBO sedia ada akan mendapat akses segera kepada HBO Max tanpa sebarang caj tambahan.

- ‘Lembaran hebat seterusnya’ -

Pengguna HBO Max dapat “mengikuti” profail pengguna lain dalam platform itu, untuk memberi syor kepada mereka berdasarkan apa yang disukai “bakat dan influencer’.

Dalam kandungan yang diumumkan sebelum ini, JJ Abrams muncul di atas pentas untuk mengesahkan bahawa siri fiksyen sainsnya ‘Demimonde’ sedang dalam pembikinan.

Jason Bateman akan menerbit dan berlakon dalam siri adaptasi Stephen King ‘The Outsider’, manakala pencipta ‘Fleabag’ Phoebe Waller-Bridge akan menerbit dan berlakon dalam siri komedi ‘Run’.

Pencipta ‘Downton Abbey’ Julian Fellowes akan menyelia siri ‘The Gilded Age’ yang berlatarbelakangkan New York, manakala pembuat ‘The Wire’ David Simon akan mengadaptasikan novel Philip Roth ‘The Plot Against America’.

Pembentangan berakhir dengn pengumuman mengejut Bloys tentang “lembaran hebat seterusnya dalam drama George”.

Tiada maklumat mengenai tarikh pelancaran prekuel ‘Thrones’ telah diumumkan.

Berita itu keluar beberapa jam selepas laporan dalam media Hollywood bahawa satu lagi prekuel berasingan ‘Game of Thrones’ yang dibintangi Naomi Watts sudah dibatalkan.

Satu siri perintis sudah dibuat tetapi HBO memutuskan untuk tidak membawa progam itu kepada siri sepenuhnya, demikian menurut laporan. HBO tidak mengesahkan berita tersebut.

Sebanyak lima siri pengganti ‘Thrones’ sudah diletakkan pada peringkat awal pembangunan oleh HBO, tetapi sebelum pengumuman berkenaan, hanya siri perintis Watts yang dilaporkan dibatalkan sudah memulakan penerbitan, dan tiada yang telah menerima arahan siri sepenuhnya. — AFP

Advertisement