Anda di sini

Tipu SEB lebih RM2 juta, kakitangan pusat latihan kemahiran, kakitangan SEB mengaku tidak bersalah

KUCHING: Empat kakitangan Syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB) dan empat lagi individu dari sebuah pusat latihan kemahiran di sini mengaku tidak bersalah apabila didakwa oleh dua Mahkamah Sesyen berasingan semalam atas pertuduhan menipu wang SEB berjumlah RM2,248,068 juta.

Memandangkan kesemua mereka tidak mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit, Hakim Marutin Pagan menetapkan 2 Disember, manakala Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Kedua-dua hakim tersebut membenarkan lapan tertuduh diikat jamin dengan jaminan mahkamah berjumlah RM10,000 dengan dua penjamin tempatan beralamat tetap di sini.

SEB melalui Program Pekerja SESCO menghantar pekerjanya ke pusat latihan tersebut untuk menghadiri beberapa program yang dikatakan diiktiraf oleh universiti serta kolej di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Selangor.

Namun, program yang dilaksanakan pusat latihan tersebut ternyata tidak mempunyai pengiktirafan seperti yang dinyatakan.

Oleh itu, mereka didakwa melakukan penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) semalam dan kes disebut di hadapan dua Hakim Mahkamah Sesyen berasingan.

Bagi kes pertama, Pang Kim How, Benjamin Lim Siaw Ming, Siti Aisah Adenan, Hajibah Ibrahim, Lee Yun Fui, Dayang Maimunah Awang Jaya dan Kumar Karisnan masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Marutin selepas pertuduhan dibaca terhadap mereka.

Tujuh individu yang berusia antara 41 hingga 61 tahun itu menipu SEB untuk mengeluarkan cek kepada pusat latihan kemahiran tersebut bagi program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Diploma Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu secara berperingkat pada 20 September 2013, 6 November 2014, 12 November 2015, 5 Mac 2015 dan 5 Julai 2016.

Perbuatan tersebut dilakukan mereka di sebuah cawangan bank di Jalan Tun Ahmad Zaidi.

Justeru, tujuh individu terbabit berhadapan lima pertuduhan membabitkan wang berjumlah RM1,741,008 juta.

Bagi kes seterusnya di hadapan Hakim Taufik, Benjamin, Lee, Dayang dan Pang sekali lagi didakwa bersama seorang lagi, Polycarp Wong Heang Fui @ Wong Heong Fui didakwa atas enam pertuduhan menipu wang SEB berjumlah RM507,060.

Mereka turut menipu SEB untuk mengeluarkan cek kepada pusat latihan kemahiran tersebut bagi program Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Diploma Lanjutan Program Kejuruteraan Mekanikal.

Kesemua mereka tidak mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit secara berperingkat pada 10 Mei dan 18 Jun 2012, 20 Mac, 10 Mei, 10 Jun dan 14 Ogos masing-masing pada tahun 2013.

Perbuatan tersebut juga dilakukan di tempat yang sama.

Pihak pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nadratun Naim Mohd Saidi dan DPP Daniel Ilham Kamaruddin terdahulu memohon agar kesemua tertuduh ditawarkan ikat jamin tunai bagi setiap pertuduhan.

Namun, menurut peguam Arthur Lee yang mewakili Polycarp, Lee, Hajibah, Siti dan Dayang, DPP tidak memberikan sebab relevan bagi pengenaan ikat jamin tunai tersebut selain menjelaskan yang anak guamnya masih bekerja sepenuh masa dan diperlukan di sana.

“Anak guam saya akan ditahan reman sekiranya gagal membayar jaminan tersebut. Maka bagi pihak anak guam saya, saya mohon agar DPP mengemukakan sebab musabab bagi pengenaan ikat jamin tunai,” ujar beliau semasa prosiding mahkamah berlangsung.

Peguam Izayyeem Azim yang mewakili Benjamin pula menyatakan anak guamnya dibuang kerja, justeru adalah sukar baginya untuk mencari wang bagi membayar ikat jamin tunai selain sukar untuk mencari penjamin.

Seksyen 420 KK memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Pang dan Kumar tidak diwakili peguam.