Anda di sini

Penganggur mengaku rogol, rompak dipenjara 15 tahun dan empat sebatan

Advertisement
 Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen setelah dijatuhkan hukuman.
KE PENJARA: Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen setelah dijatuhkan hukuman.

SIBU: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara berserta empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini petang semalam atas tuduhan merogol dan merompak, baru-baru ini.

Bagi pertuduhan merogol, tertuduh dikenakan hukuman tujuh tahun penjara berserta dua sebatan dan bagi merompak, dia dikenakan hukuman lapan tahun penjara berserta dua sebatan.

Tertuduh, 22, yang mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan, diperintah menjalani hukuman itu secara berasingan.

Mengikut pertuduhan merogol, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berumur 25 tahun pada 24 Oktober 2019, kira-kira jam 6.07 pagi di sebuah bilik sewa di Jalan Tan Sri.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun yang sama.

Untuk tuduhan merompak, dia didakwa merompak barangan milik mangsa iaitu telefon bimbit, seterika, beg berwarna hitam dan sejumlah matawang asing pelbagai negara, selain turut mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh dan tempat yang sama, kira-kira jam 6 pagi dan dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 24 Oktober 2019, kira-kira jam 6.07 pagi, mangsa yang bangun dari tidur mendapati bilik sewanya dalam keadaan gelap.

Mangsa kemudian keluar dari bilik menuju ke papan suis utama bagi memasang semula lampu sebelum kembali semula ke dalam biliknya.

Ketika masuk semula ke dalam bilik, tertuduh yang telah menunggu di belakang pintu bertindak mencekik leher mangsa sehingga dia terjatuh dan pengsan.

Apabila sedar dari pengsan, mangsa melihat tertuduh menyelongkar barangan miliknya. Mangsa juga mendapati tangannya diikat longgar dengan tali dan berada dalam keadaan separuh bogel.

Selepas berjaya memakai semula seluarnya, mangsa membuka tingkap bilik bagi mendapatkan pertolongan dengan menjerit.

Melihat keadaan itu, tertuduh bertindak melarikan diri.

Mangsa kemudian bertindak terjun dari tingkap menyebabkan dia cedera dan orang awam yang melihat mangsa kemudian menghubungi pihak polis.

Pada kira-kira jam 11 pagi hari yang sama, pihak polis berjaya menahan tertuduh di sebuah hotel di Jalan Pahlawan ketika cuba melarikan diri dari tingkap belakang bilik mandi hotel.

Advertisement