Anda di sini

Penduduk Daro bakal nikmati sistem pengangkutan lebih baik

Advertisement

KEHIDUPAN penduduk di pesisir pantai di Daro sememangnya unik dan berbeza daripada penduduk lain.

Kebanyakannya yang bekerja sebagai nelayan atau petani tradisional bagi menyara kehidupan, boleh dikatakan sedikit sukar dan bergantung kepada keadaan sekeliling untuk mencari rezeki.

Mereka bergelumang dengan air, sama ada air laut atau sungai, air masin atau tawar, begitulah yang sering dihadapi.

Begitu juga dengan pengangkutan air yang satu ketika dahulu menjadi keutamaan bagi penduduk ketika belum wujudnya jalan raya.

Perahu, sampan atau bot adalah kenderaan penting bagi mereka untuk menjalankan serta meneruskan aktiviti seharian.

Hanya kenderaan air inilah sahaja kemudahan yang tersedia untuk meneruskan kehidupan sama ada untuk mencari rezeki, ke pekan berhampiran atau kadang-kadang menghantar orang sakit ke klinik atau hospital terdekat.

Ketiadaan kenderaan air akan menyebabkan mereka tidak dapat berbuat apa-apa, apatah lagi untuk mencari hasil laut, sungai atau hutan yang menjadi sumber pendapatan mereka.

Bot ekspres yang masih terdapat di jeti Daro untuk ke beberapa kawasan yang masih belum ada kemudahan jalan raya.
Bot ekspres yang masih terdapat di jeti Daro untuk ke beberapa kawasan yang masih belum ada kemudahan jalan raya.

PERUBAHAN

Bagaimanapun, kehidupan boleh diibaratkan seperti air sungai yang akhirnya mengalir juga ke laut.

Kehidupan yang dahulunya sedikit sukar dengan hanya menjadi nelayan atau petani tradisional, kini sedikit sebanyak telah berubah seiring peredaran zaman.

Kebanyakan penduduk pesisir pantai, jika tidak pun generasi kedua atau seterusnya, kini sudah pasti mempunyai pekerjaan lebih baik di bandar-bandar.

Seiring itu juga, pengangkutan air turut mengalami perubahan dari segi kepentingannya.

Apatah lagi kini, sudah banyak kawasan khususnya yang berada di daerah Daro, Matu dan sekitarnya yang mendapat akses jalan raya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negsri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, kepentingan pengangkutan air kini telah mulai pudar, diganti dengan pengangkutan jalan raya.

Beliau yang merupakan anak jati Kampung Penasu, Daro juga telah merasai sendiri perubahan itu mengikut peredaran zaman.

"Satu ketika dahulu iaitu sekitar tahun 80-an dan sebelumnya, pengangkutan air memang sesuatu yang amat penting bagi penduduk di Daro," katanya ketika ditemu bual Utusan Borneo, baru-baru ini.

Ketika itu Daro masih di bawah pentadbiran Sarikei dan hanya bandar itulah yang paling popular untuk penduduk berurusan atau membeli keperluan dan hanya pengangkutan air yang dapat digunakan ketika itu untuk ke Sarikei dan juga Sibu.

Ada dua jenis kenderaan utama yang digunakan untuk ke Sarikei dan Sibu iaitu bot ekspres dan bot laju. Perahu atau sampan pula digunakan untuk perjalanan domestik.

Bot laju masih wujud, namun dalam bilangan yang sedikit.
Bot laju masih wujud, namun dalam bilangan yang sedikit.

PENGANGKUTAN DARAT

Seiring peredaran masa, kepentingan pengangkutan air diganti dengan jalan raya.

Walaupun masih ada satu atau dua kawasan tidak dapat diakses melalui jalan raya di bawah DUN Daro, namun ia bakal berubah dalam sedikit masa lagi.

Titik perubahan paling besar kata Safiee ialah kewujudan Jalan Sibu-Tanjung Manis pada 2013.

"Dengan wujudnya jalan itu, penduduk sudah dapat menggunakan kenderaan darat dengan jalan raya sama ada untuk ke Sibu atau Sarikei," ujarnya.

Ketika itulah katanya pengangkutan darat mula mendominasi sementara pengangkutan air pula telah menjadi kurang penting.

Ada beberapa faktor lain yang turut menyumbang dan menyuburkan perkembangan pengangkutan darat ini berbanding pengangkutan air.

Antaranya ialah masa lebih singkat untuk ke destinasi tertentu, kos lebih jimat serta kemudahan pengangkutan persendirian lebih selesa berbanding pengangkutan awam.

Dapat dilihat melalui jalan raya, penduduk Daro kini boleh sampai ke Sibu sekitar dua jam perjalanan berbanding pengangkutan air yang lebih lama sedikit.

Dengan kenderaan persendirian, kos membeli minyak tidak semahal membeli tiket bot ekspres atau bot laju yang mengenakan tambang sekitar RM100 hingga RM150 untuk ulang-alik Daro-Sibu contohnya.

Lagipun, dengan kenderaan persendirian, pengguna boleh terus sampai ke destinasi yang diinginkan.

Berbanding dengan bot ekspres atau bot laju, destinasi hanya terhad untuk ke jeti sahaja dan masih perlu menggunakan kenderaan lain untuk ke destinasi seterusnya.


PERBEZAAN DAN CABARAN


Jika musim perayaan sama ada Gawai, Hari Raya, Krismas dan sebagainya, dahulunya jeti dan dermaga akan penuh sesak dengan para penumpang yang hanya bergantung kepada bot laju atau bot ekspres untuk balik ke kawasan masing-masing.

Kadang-kadang, risiko yang terpaksa diambil dan sering dihadapi ialah keadaan lebih muatan.

Ini adalah salah satu risiko yang sering kali dihadapi oleh penduduk yang hanya bergantung kepada pengangkutan air pada suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, dengan perubahan dan peralihan kepada pengangkutan darat, sekelip mata telah berjaya menghapuskan risiko bahaya ini kepada penduduk.

Di samping itu, keadaan di jeti dan dermaga tidak lagi sesesak seperti suatu ketika dahulu ketika musim perayaan atau cuti sekolah.

Namun begitu, satu cabaran baharu yang timbul ialah kesesakan di kawasan feri.

Penduduk yang rata-rata menggunakan kenderaan persendirian atau pengangkutan awam darat terpaksa berhadapan kesesakan atau beratur panjang untuk menggunakan perkhidmatan feri.

"Masalah kesesakan beratur panjang di feri muncul apabila tiba musim perayaaan dan cuti sekolah," jelas Safiee.

Bagi mengatasi masalah tersebut, semua kaedah telah diguna pakai termasuklah memanjangkan waktu perkhidmatan feri serta menambah bilangan feri untuk beroperasi.

Namun, masalah kesesakan masih tidak dapat diatasi sepenuhnya.

Safiee optimis dengan pembinaan kedua-dua jambatan Batang Lassa dan Ploh yang siap dalam beberapa tahun ini adalah jawapan kepada masalah kesesakan di kawasan feri itu nanti.

Bukan setakat itu, Safiee juga menjangkakan seluruh kawasan di DUN Daro akan dapat diakses melalui jalan darat seawal-awalnya pada 2023 atau selewat-lewatnya 2025.

Sehingga kini, masih ada beberapa kawasan yang hanya dapat diakses melalui pengangkutan air.

Namun, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan jalan raya dan hanya menantikan kemudahan itu untuk dibina.

Jika masanya sudah tiba, pengangkutan air mungkin hanya menjadi kenangandalam lipatan sejarah Daro.

Boleh dikatakan hampir pupus, pengangkutan air di Daro kini sudah kian lenyap, hilang ditelan masa, bagaikan air sungai yang mengalir ke hilir dan terus hilang ditelan laut.

  • oleh
  • Advertisement