Anda di sini

Bilangan korban kereta api terbakar di Pakistan cecah 74

Advertisement
 Orang ramai melihat gerabak yang hangus sehari selepas sebuah kereta api penumpang terbakar dan mengorbankan 74 nyawa di Rahim Yar Khan, di timur laut Pakistan semalam. — Gambar Arif Ali/AFP
MALANG: Orang ramai melihat gerabak yang hangus sehari selepas sebuah kereta api penumpang terbakar dan mengorbankan 74 nyawa di Rahim Yar Khan, di timur laut Pakistan semalam. — Gambar Arif Ali/AFP

ISLAMABAD: Angka korban dalam kebakaran kereta api penumpang di timur laut Pakistan telah meningkat kepada 74 orang, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai pada lewat kelmarin.

Yasmin Rashid, Menteri Kesihatan wilayah Punjab, berkata jumlah kematian meningkat selepas lapan lagi mayat ditemui apabila api berjaya dipadam dan di-sejukkan manakala seorang penumpang yang cedera parah dan dirawat di hospital telah meninggal dunia.

Yasmin berkata sejumlah 200 penumpang berada dalam tiga gerabak kereta api itu ketika kebakaran berlaku.

Menteri Kereta Api Sheikh Rasheed Ahmad berkata kebakaran meletus selepas dua tong gas silinder meletup dan beberapa penumpang maut selepas melompat keluar dari kereta api yang sedang bergerak.

Rakaman TV tempatan mendedahkan bahawa terdapat beberapa tong gas silinder berhampiran lokasi nahas dan letupan yang berlaku mungkin mencetuskan reaksi berantai di atas kereta api.

Beliau berkata kebakaran telah merebak ke tiga gerabak kereta api itu, dua daripadanya membawa anggota Jemaah Tabligh – sebuah pergerakan dakwah Islam global.

Pasukan tentera termasuk doktor dan paramedik telah dihantar ke lokasi nahas untuk operasi menyelamat dan bantuan.

Bakir Hussein, ketua per-khidmatan menyelamat da-erah, berkata beberapa mayat tidak dapat dikenal pasti dan identiti mereka hanya boleh ditentukan melalui analisis DNA.

Seorang mangsa yang ter-selamat, Mohammad Imrah, berkata beliau berada dalam satu daripada gerabak ketika letupan berlaku dan api merebak dengan begitu pantas, menyebabkan ke-adaan panik dalam kalangan penumpang.

“Apabila saya bergerak ke arah tingkap untuk menyelamatkan nyawa saya, sudah ada orang yang berbaris dan bersedia untuk melompat keluar dari kereta api,” katanya.

Seorang doktor di Hospital Liaqatpur, Mohammed Nadim Zeya, berkata beberapa pesakit meninggal dunia akibat trauma benda tumpul selepas melompat keluar dari kereta api.

Presiden Pakistan Arif Alvi menzahirkan kesedihannya berhubung nahas itu dan mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang.

Perdana Menteri Imran Khan berkata beliau telah mengarahkan para pegawai untuk menjalankan siasatan berhubung insiden itu. — Bernama

Advertisement