Anda di sini

Peranan anggota perkhidmatan awam penting, mencabar

Advertisement
 Tan (tengah), Norzawiyah (tujuh dari kiri), Peter (lapan dari kanan) dan Jirun (empat dari kanan) merakam gambar kenangan bersama rakan-rakan strategik JaPen Sabah.
ALBUM: Tan (tengah), Norzawiyah (tujuh dari kiri), Peter (lapan dari kanan) dan Jirun (empat dari kanan) merakam gambar kenangan bersama rakan-rakan strategik JaPen Sabah.

KOTA KINABALU: Peranan anggota perkhidmatan awam amat penting dan mencabar terutama dalam usaha memulihkan semula negara ini daripada salah guna kuasa dan rasuah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Tan Lee Fatt berkata, sektor awam sering menjadi fokus perbincangan terutama dalam kalangan masyarakat berkaitan dengan harapan agar sektor terbesar itu dapat bergerak berlandaskan prinsip serta integriti.

"Matlamat akhir sistem penyampaian kerajaan adalah supaya perkhidmatan yang diberi sempurna dan rakyat berpuas hati terhadap perkhidmatan yang diberi oleh sektor awam.

"Selaku perkhidmatan awam yang dilantik dan diamanahkan oleh kerajaan, kita menggesa agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar," katanya ketika berucap merasmikan Program Sepakat@Komuniti Bersama Rakan Strategik Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah, semalam.

Dalam pada itu, Tan turut menyatakan JaPen Sabah juga mempunyai berbagai program sepanjang tahun sama ada dalam skala besar mahupun kecil serta melibatkan golongan sasar yang dikenalpasti.

Antaranya, program Konvoi Kembara Meredka Jalur Gemilang (KMJG) yang dilaksanakan pada setiap tahun melibatkan 25 daerah bertujuan meningkatkan lagi semangat cinta negara rakyat melalui pengibaran jalur gemilang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah JaPen Norzawiyah Bulka dan Pegawai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Farahdilla Abdul Rani, wakil Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah SM Jirun Angkis dan Pegawai Penerangan Daerah Peter Tong Ah Pin.

Advertisement