Anda di sini

Pekerja hotel mengaku bersalah sembunyikan wang hasil penipuan

Advertisement
 Shalam (kanan) dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.
MOGA INSAF: Shalam (kanan) dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.

SIBU: Seorang pekerja hotel didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua tuduhan membantu menyembunyikan wang hasil penipuan pinjaman wang yang tidak wujud.

Mohd Shalam, 22, dari Selangor mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Faizal Che Saad.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan RM2,500 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh didakwa membantu menyembunyikan wang milik seorang lelaki dikenali sebagai Tang yang berjumlah RM1,510.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Kampung Datu pada 28 dan 30 Jun, 2018.

Didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 27 Jun 2018, pengadu terlihat iklan pinjaman wang di dalam Facebook dan menghubungi wakil syarikat kerana hendak membuat pinjaman sebanyak RM20,000.

Pengadu kemudian dihubungi melalui WhatsApp dan diminta menghantar slip gaji dan salinan kad pengenalan bagi tujuan permohonan pinjaman.

Pada 28 Jun 2018, pengadu menerima teks pesanan ringkas berhubung bayaran yang perlu dijelaskan bagi memproses permohonan dan diberi nombor akaun atas nama tertuduh.

Pengadu kemudian membuat dua transaksi ke dalam akaun tertuduh pada 28 dan 30 Jun 2018, membabitkan wang masing-masing sebanyak RM500 dan RM1,010.

Namun selepas itu, pengadu berasa curiga apabila tidak menerima wang yang hendak dipinjam, selain nombor telefonnya disekat.

Siasatan kemudian mendapati berdasarkan penyata akaun daripada pihak bank mengesahkan akaun yang terlibat adalah milik tertuduh.

Dalam rayuan, Shalam melahirkan rasa kesal dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Tertuduh turut memberitahu terpaksa menjaga kedua-dua orang tua dan merayu menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Advertisement