Anda di sini

LTTE: ADUN Gadek dan tiga lelaki didakwa lagi

  Antara individu yang dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung kumpulan pengganas LTTE. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Antara individu yang dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung kumpulan pengganas LTTE. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G. Saminathan dan tiga lelaki semalam didakwa lagi di Mahkamah Sesyen berhubung kumpulan pengganas LTTE.

Saminathan, 34, pemandu teksi V. Balamurugan, 37, penghantar surat S. Teeran, 38, dan peniaga besi buruk A. Kalaimughilan, 28, masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Saminathan didakwa menggunakan nama ‘Gsami Nanthan Siva’, Balamurugan atas nama ‘BALAMURUGAN VEERASAMY’, Teeran dengan nama ‘TAMMIL KANNAMAH’ dan Kalaimughilan dengan nama ‘Kalai Mugilan’.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 7 Oktober dan 8 Oktober 2019 pada masa berlainan iaitu jam 9 pagi, 10 pagi dan 9.30 malam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Teeran turut didakwa atas pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di kawasan letak kereta B2, Mandarin Pacific Hotel, Jalan Sultan di sini, pada 11.40 pagi 10 Oktober lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan juga menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial YouTube pada 10 pagi 2 June 2014 di lokasi sama.

Dia turut didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan No 2, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di sini pada 8 malam hingga 11. 30 malam, 17 March 2014.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.

Kesemua pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh dibacakan berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Pada 29 Oktober lepas, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri berkaitan kumpulan LTTE.

Saminathan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November, 2018.

 Di Kuala Kangsar, Perak, Balamurugan, menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember, 2014.

Kalaimughilan, 28, dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 tengah hari, 10 Oktober lepas.

Teeran, didakwa di Segamat, Johor atas kesalahan sama di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai kira-kira 6.30 petang, 10 Oktober lepas.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin manakala peguam Ramkarpal Singh mewakili Saminathan manakala Balamurugan diwakili peguam Omar Kutty Abdul Aziz dan J.Matthews sementara peguam K. Murali bertindak bagi pihak Teeran dan Kalaimughilan.

Aslinda tidak menawarkan jaminan kerana kesemua tertuduh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak dibenarkan jaminan.

“Jaminan tidak wajar dibenarkan kerana mahkamah juga tiada bidang kuasa untuk memberikan jaminan di bawah SOSMA,” katanya.

Ramkarpal memohon supaya anak guamnya dibenarkan jaminan atas budi bicara mahkamah dengan alasan penahanan mereka di bawah SOSMA adalah tidak berperlembagaan.

Ramkarpal juga memohon agar permohonan jaminan tersebut dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan esok (hari ini) untuk keputusan. — Bernama