Anda di sini

Bomoh kena penjara sembilan tahun dan satu sebat, kesalahan seksual

KOTA KINABALU: Seorang bomoh dikenakan penjara sembilan tahun dan satu sebat, oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana melakukan kesalahan seksual terhadap seorang murid perempuan.

Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Mahmuda Ba'dulu, 68, yang tidak diwakili peguam selepas perbicaraan penuh dijalankan dan didapati bersalah.

Dalam penghakiman itu, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh mencium dan meraba badan mangsa yang berusia 11 tahun semasa memandikan air jampi, pada 31 Ogos 2018 jam 2 petang di dalam bilik mandi sebuah rumah kampung, daerah Kota Belud.

Hukuman mengikut Seksyen 14 (1) (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, penjara selama tempoh 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan, Mahmuda memohon supaya hukumannya diringankan dan dikira dari tarikh tangkap.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan hukuman yang berat harus dijatuhkan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Tertuduh yang tidak memiliki dokumen diri mula didakwa pada 1 November tahun lalu mengaku tidak bersalah, sementara menuggu kes selesai tiada jaminan ditawarkan.

Sepanjang perbicaraan dijalankan, pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing manggil seramai tujuh dan seorang saksi untuk memberikan keterangan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membela dirinya pada 3 Oktober setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Elsie mengarahkan tempoh pemenjaraan tertuduh dikira dari tarikh tangkap pada 18 Oktober 2018 , setelah itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.