Anda di sini

'Pogiombolutan Diti' penghormatan buat malim gunung yang terkorban

Advertisement
 Cornelia (tengah), rakan-rakan dan saudara mara mendiang merakamkan kenangan bersama.
PENGHARGAAN: Cornelia (tengah), rakan-rakan dan saudara mara mendiang merakamkan kenangan bersama.

KOTA KINABALU: Lagu 'Pogiombolutan Diti' yang bermaksud Persahabatan Ini membawa tuah kepada pasangan dua beradik Cornelia dan Josue James Lintanga apabila lagu berkenaan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Lirik Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Penulis lirik lagu yang berasal dari Bundu Tuhan Ranau itu memenangi anugerah berkenaan sempena Pertandingan Akhir Juara Carta Lagu Dusun SabahVfm Musim ke-7 baru-baru ini.

Cornelia berkata, lagu berkenaan ditulis khas untuk malim gunung yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015.

"Lagu ini mengisahkan persahabatan kami dengan malim gunung yang terkorban dalam gempa bumi 2015 di Gunung Kinabalu dan ia dicipta istimewa untuk mendiang Valerian Joannes," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pertandingan itu.

Katanya, sebelum kejadian terbabit, beliau bersama kawan-kawan dan mendiang Valerian dalam proses pembikinan kompilasi Album Tamuya vol. 2.

Bagaimanapun katanya, penghasilan kompilasi album vol. 2 terpaksa ditangguhkan untuk memberi ruang kepada pembikinan album Anthem: Id Kasarahan untuk memperingati mangsa-mangsa gempa bumi 2015.

"Mendiang Valerian sempat merakamkan lagunya bertajuk 'Igitanku Longon Nu' sebelum kejadian gempa bumi. Lagu itu ditujukan kepada tunangnya Jesicca.

"Artis lain yang belum sempat merakam lagu mereka, masing-masing mencipta lagu dengan tema memperingati mangsa-mangsa gempa bumi, termasuklah luahan hati tunangnya digubah menjadi lagu untuk membalas lagu 'Igitanku Longon Nu Ika' (Ku Pegang Tangan Mu Ika) bertajuk 'Andado Oku Diya' (Kau Tunggu Aku)," jelasnya.

Persembahan Cornelia diiringi tujuh penyanyi latar dan beberapa pengiring persembahan membawa gambar mendiang Valerian dan Joseph Solungin, bunga dan lilin sebagai penghormatan kepada empat wira Gunung Kinabalu itu termasuk Ricky Masarin dan Robbie Sapinggil.

Kesemua yang terlibat dalam persembahan itu terdiri daripada kawan-kawan dan saudara mara mendiang.

Juara Lagu Dusun membawa pulang wang tunai RM5,000, naib juara dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 dan RM2,000 berserta sijil dan trofi.
 
Anugerah Vokal Terbaik pula dimenangi oleh S. Welly dan Marlleynney Fane dan Artis Paling Popular oleh Frederick. Kesemua pemenang anugerah menerima wang tunai sejumlah RM1,000, trofi dan sijil.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Rancangan Radio Mohd Yusni Mohd Ali, Pengurus SabahVFM Lalita Sundram, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Saikom Watis.

  • oleh
  • Advertisement