Anda di sini

Petani didakwa lakukan seksual terhadap anak saudara

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang petani tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap anak saudara perempuannya.

Bagaimanapun tertuduh yang berusia 53 tahun yang diwakili peguam Datuk Maijol Mahap mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elsie Primus.

Tertuduh didakwa menyentuh kemaluan mangsa yang berusia 8 tahun bagi maksud seksual, sekitar Mei di sebuah kampung daerah Kundasang.

Hukuman yang diperuntukkan mengikut Seksyen 14 (1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Timbalan Pendakwaraya Adibah Saiful Bahri tidak mencadangkan ikat jamin diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira kaitan antara mereka.

Menurutnya, tertuduh dan mangsa tinggal bersebelahan serta risiko mangsa diganggu adalah tinggi, selain itu pengadu dalam kes ini adalah anak tertuduh.

Sekiranya dibenarkan, beliau mencadangkan sejumlah ikat jamin RM15,000 dicagarkan dua penjamin tempatan dikenakan terhadap tertuduh.

Namun Maijol menyatakan sekarang ini anak guamnya menetap di sebuah kampung di daerah Kota Marudu dan bekerja sebagai petani.

"Tertuduh tidak tinggal di kampung yang sama dengan mangsa. Kebarangkalian mengganggu saksi pendakwaan adalah tiada.

"Kebenaran memberikan jaminan mengikut budi bicara mahkamah. Selain itu, isteri tertuduh juga berasal dari Kota Marudu," katanya yang memohon jumlah jaminan berkenaan dikurangkan.

Mahkamah memberikan tertuduh ikat jamin sebanyak RM15,000 deposit RM10,000 dicagarkan dua penjamin tempatan sementara menunggu kes selesai.

Selain itu, tertuduh dilarang daripada memasuki daerah Ranau dan harus melaporkan dirinya di balai polis terdekat mengikut masa yang ditetapkan.

Elsie menetapkan tarikh pengurusan kes pada 28 November ke atas tertuduh.

  • oleh
  • Advertisement