Anda di sini

Bulan Sukan Negara terapkan amalan bersukan dan riadah

Advertisement
 Adin dan Jainin melepaskan peserta Fun Ride yang turut disertai oleh Rasinin dan Jumain.
PELEPASAN: Adin dan Jainin melepaskan peserta Fun Ride yang turut disertai oleh Rasinin dan Jumain.

TAMBUNAN: Bulan Sukan Negara (BSN) merupakan platform untuk menerapkan budaya mengamalkan aktiviti bersukan dan riadah dalam kalangan masyarakat dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan selain wadah perpaduan rakyat dan penyatuan nasional, kata Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Rasinin Koutis.

Katanya, bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, rakyat perlu mencapai sasaran 50 peratus daripada jumlah penduduknya aktif dalam aktiviti sukan, riadah dan kecergasan.

“Berdasarkan statistik tahun 2018 yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, lebih 50 pertus rakyat di negara ini mengamalkan aktiviti gaya hidup sihat melalui bersukan, riadah dan kecergasan.

“Saya percaya matlamat ini dapat dicapai dengan adanya sokongan dan penglibatan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat, sektor awam dan swasta, badan-badan sukan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),“ katanya semasa berucap melancarkan Bulan Sukan Negara peringkat Pedalaman Atas dan Program Sepakat @ Komuniti peringkat daerah ini di Pisompuruan Square di sini.

Rasinin berkata, Program Sepakat @ Komuniti Daerah ini dilaksanakan adalah bagi menyampaikan maklumat dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan juga memberi perkhidmatan secara langsung sama ada oleh Jabatan Penerangan ataupun bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi dan NGO yang ada.

Katanya, pada tahun ini, dengan fokus dan matlamat program yang hampir sama, Pejabat Penerangan daerah ini berkolaborasi dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk sama-sama menganjurkan program ini.

“Matlamatnya adalah untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat agar amalan bersukan adalah sebagai salah satu amalan gaya hidup sihat, dapat menerapkan nilai-nilai murni dan bekerjasama berpasukan mengeratkan perpaduan yang sedia ada terjalin dalam kesukanan serta memberi galakan kepada orang ramai termasuk ahli-ahli komuniti harapan Malaysia untuk terlibat secara langsung dalam program ini.

“Sambutan Bulan Sukan Negara pada kali ini dengan pelbagai aktiviti sukan sepanjang bulan Oktober untuk merekodkan sebagai bukti penglibatan rakyat negeri Sabah dalam aktiviti sukan bagi peringkat Pedalaman Atas,” katanya.

Rasinin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan berkata, kemuncak program hari ini adalah aktiviti utama yang terbuka kepada penyertaan ramai seperti bersenam, Fun Run 5 KM, Family Walk 3 KM atau 10,000 langkah dan Fun Ride 10KM.

Katanya, ini adalah satu aktiviti untuk mempromosikan kepada rakyat bahawa senangnya melakukan aktiviti sukan demi mendapat kesihatan yang baik.

“Saya juga menyeru agar semua dakyat di negeri ini dapat menggunakan kemudahan sukan yang sedia ada bagi memastikan kecergasan tubuh badan kita sentiasa dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berharap program ini dapat memberikan kesan positif dalam pemerkasaan budaya hidup sihat, kecergasan dan rekreasi di negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Penganjur Program Jumain Abdul Ghani, Pegawai Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Keningau Ryandie Angsukup, Pegawai Penerangan Daerah Jainin Yadtaroh, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Basal Bullah, Ketua Daerah Adin Manggala, ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri, pelajar-pelajar sekolah serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

Rasinin bersama Jumain turut menyertai fun ride bersama-sama dengan para peserta lain dalam acara berbasikal yang dilepaskan oleh Ryandie dan Jainin.

Advertisement