Anda di sini

4 Cara Membina Visi Peribadi

 

Oleh ROSHAN THIRAN

Baru-baru ini, saya ditanya soalan yang menarik oleh seorang usahawan muda:

Bagaimanakah saya boleh menentukan dan memberi perhatian kepada apa yang perlu saya lakukan dalam suasana yang begitu sarat dengan nasihat?

Pada ketika kita melangkah ke alam pekerjaan, kebanyakan kita akan mengambil masa untuk menemui relevans kita. Sungguh biasa sekali: melangkah dari sekolah atau universiti ke dunia kerja adalah salah satu peralihan terbesar yang akan kita alami. Jadi, masuk akal jika kita melihat kepada orang lain yang sudah ‘berada di sana, melakukan itu’ untuk mendapatkan rasa arah dan tujuan.

Cabaran timbul apabila kita mendapati bahawa terdapat begitu ramai orang yang memberi begitu banyak bimbingan. Sudah pasti bagi kita, semuanya bagus-bagus belaka.

Saya pasti profesional muda, dengan mudah, dapat menyenaraikan lima atau 10 ‘guru’ yang buku-bukunya pernah dibaca mereka, podcastnya yang pernah didengar mereka, serta ceramah YouTubenya yang pernah ditonton mereka. Tambahkan kepada jumlah orang di luar talian yang kita kenal, suara yang tidak terhitung akan mulai kedengaran dari semua hala.

Setiap kali saya berbicara dengan orang muda mengenai kerjaya mereka, saya akan memberitahu bahawa nasihat saya adalah mengenai kisah saya, dan bahawa mereka kelak akan mempunyai cerita sendiri.

Maksud yang ingin saya sampaikan ialah meskipun berguna untuk mengambil wawasan berharga daripada orang lain, tidak ada sebarang apa pun daripada pemimpin dan usahawan berjaya ini yang berupa kebenaran mutlak. Apa yang berhasil untuk saya atau Tony Fernandes atau Sheryl Sandberg tidak semestinya berhasil untuk orang lain. Mengapa? Ini kerana kita semua menjalani hidup yang berbeza dan kisah kita adalah unik buat kita.

Katakanlah anda mahu belajar cara melukis cat minyak pada kanvas. Seperti Leonardo da Vinci, Michelangelo, Rembrandt dan Vermeer, anda perlu mempelajari beberapa langkah asas untuk memulakan proses itu. Ini termasuk mendapatkan bahan yang betul, mencari tempat yang selesa untuk bekerja, dan membuat sketsa idea anda. Tetapi karya seni itu adalah ekspresi anda semata-mata. Perkara ini tidak dapat diajar oleh sesiapa pun.

Dengan pertimbangan ini, saya ingin berkongsi beberapa ‘langkah asas’ yang boleh membantu kita untuk menentukan apa yang penting kepada kita dan bagaimana kita boleh menumpukan fokus untuk mengembangkan visi kita.

1. Mula dengan membuat renungan tentang diri

Ini akan membantu anda memahami nilai-nilai anda, dan bukannya asyik terpaku dengan apa yang anda ingin menjadi.

Misalnya, anda boleh menyenaraikan 10 pernyataan yang bermula dengan perkataan berikut: ‘Saya ingin berkhidmat dalam pelayanan…’ Anda mungkin boleh menyiapkan ayat itu dengan ‘komuniti saya’, atau ‘menjadi model peranan yang akan disanjungi anak saya’, atau ‘membantu orang lain yang kurang bernasib baik’. Ingat, ini contoh-contoh belaka –anda boleh membuat senarai sendiri. 

Yang penting ialah apa yang anda senaraikan perlu datang dari hati anda, bukan apa anda fikir yang diharapkan daripada anda. (Buat senarai maksimum 10 nilai – kalau lebih, ia akan menjadi sukar untuk memelihara fokus dan motivasi.)

2. Untuk setiap nilai, tulis pernyataan perubahan

Kebanyakan orang cenderung berhenti setakat membuat senarai apa yang diinginkan – itu bagus untuk memvisualisasikan diri kita yang ideal, tetapi untuk membuahkan nilai kita, kita perlu tahu impaknya.

Buat pernyataan yang spesifik. Misalnya, jika salah satu nilai tersenarai anda ialah, ‘Saya ingin melayani mereka yang kurang bernasib baik’, anda boleh menulis di sisinya pernyataan perubahan seperti ‘Supaya saya boleh membantu mendidik orang lain dengan mengajar mereka untuk membaca’; atau ‘Supaya saya boleh membantu menyediakan makanan untuk mereka yang tiada makanan dan meluangkan masa untuk mengetahui kisah mereka’. Apabila anda membuat ini bagi setiap nilai, anda akan mula melihat bagaimana anda dapat menggabungkan semuanya untuk mengembangkan tujuan dan visi peribadi anda.

Berkaitan: 10 Tip Untuk Membantu Anda Kekal Bermotivasi 3. Buat pelan tindakan

Untuk mengambil tindakan ke atas kesemua 10 nilai mungkin satu cabaran. Bermula dengan dua atau tiga nilai yang paling menyentuh anda. Buat catatan tentang apa yang boleh anda lakukan, misalnya, pada minggu berikutnya, atau sepanjang bulan hadapan, berhubung nilai itu. 

Jika anda ingin membantu mendidik orang lain, anda boleh mencari dalam talian dan mendaftarkan diri dalam program sukarelawan tempatan. Jika anda ingin membina perniagaan untuk membantu menyelesaikan sesuatu masalah, anda boleh membuat kajian pelanggan atau mengadakan perbincangan sambil minum kopi dengan seseorang pemimpin industri.

Apa sekalipun yang ingin anda capai, jika anda mengambil langkah untuk mengusahakannya, biar kecil sekalipun langkah itu pada mulanya, ia akan mendekati anda dengan pencapaian objektif yang disasarkan. 

4. Buat renungan dan semakan semula apabila perlu

Ketika anda membuat senarai nilai anda, tulis pernyataan perubahan anda, dan mengambil tindakan ke atas nilai-nilai itu, dua atau tiga pada satu masa, anda mungkin menemui nilai baharu di mana nilai asal kelihatan tidak lagi benar.  Itu okay – pengalaman baharu membawa wawasan baharu kepada apa yang bermakna untuk kita.

Adalah penting untuk menyedari bahawa nilai-nilai itu bukan konkrit. Anda mungkin ada beberapa ‘nilai teras’ tetapi intinya adalah untuk membolehkan fleksibiliti apabila perlu. Sepanjang proses membentuk visi ini, tanya diri apa yang menyenangkan anda dan apa yang berjalan baik.

Teliti sama ada sesuatu yang diusahakan mungkin tidak betul. Barangkali sesuatu yang anda usahakan itu berupa penghalang dan bukannya membantu anda untuk bergerak maju. Perubahan adalah sebahagian daripada mana-mana proses. Ingat, apa yang penting kepada anda mesti datang dari hati anda, bukan apa yang anda fikir yang diharapkan daripada anda.

Akhir kata

Yang paling penting, anda perlu berseronok dan biarkan diri untuk menemui apa yang menggembirakan anda. Perkataan ‘nilai’, ‘tujuan’ dan ‘makna’ mungkin amat berat tafsirannya tetapi kajian mengenai kepimpinan menunjukkan bahawa seseorang akan melakukan lebih baik, menghasilkan lebih banyak dan mempunyai idea yang lebih inovatif apabila mereka gembira dengan apa yang dilakukan. 

Mereka juga memberi inspirasi kepada orang lain untuk ikut sama, dan ini membantu mewujudkan motivasi dan keterlibatan yang positif yang mengajak orang lain untuk membentuk visi peribadi mereka dalam melayani perkara yang paling penting dalam hidup mereka.

Sumber
Sumber