Anda di sini

Tiga indikator penentu kedudukan Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Dunia, yang mengeluarkan laporan Menjalankan Perniagaan 2020 semalam, menyarankan supaya Malaysia memperbaiki tiga petunjuk atau indikator yang boleh membantu melonjakkan ranking negara kepada 10 negara teratas bagi tahun-tahun berikutnya, daripada tangga ke-12 pada masa ini.

Tiga petunjuk itu ialah mendapatkan kredit, melaksanakan kontrak menyelesaikan insolvensi.

Perangkawan dan Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia, Arvind Jain berkata sasaran itu boleh dicapai berdasarkan kemajuan semasa dan agenda yang ditetapkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

“Kajian ini merangkumi 10 petunjuk dan ia boleh menjadi mekanisme untuk pembuat dasar membuat pembaharuan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran laporan itu di sini, semalam.

Malaysia, dengan skor 81.50 mata dalam kelompok 190 ekonomi dunia, telah merekodkan peningkatan kepada kedudukan ke-12 berbanding 15 sebelum ini.

Laporan Menjalankan Perniagaan itu mendorong kualiti dan kecekapan pengawalseliaan menerusi pembaharuan institusi.

Ia menilai 10 petunjuk iaitu pemerbadanan perniagaan, mendapatkan permit bangunan, memperolehi kemudahan bekalan elektrik, pemindahan hartanah, akses kepada kredit, melindungi pelabur minoriti, pembayaran cukai, penglibatan dalam perdagangan antarabangsa, melaksanakan kontrak dan menyelesaikan insolvensi.

“Malaysia layak untuk dipuji susulan peningkatan ranking setelah menguasai aspek seperti menguruskan permit pembinaan, mendapatkan bekalan elektrik dan perdagangan rentas sempadan,” kata Pengurus Negara bagi Malaysia, Bank Dunia, Dr Firas Raad.

Bagaimanapun beliau juga mengingatkan kerajaan agar tidak terlalu selesa, memandangkan prestasi negara ini tidak hanya bergantung kepada Malaysia semata-matanya malah ia turut berkait rapat dengan situasi yang berlaku di negara lain.

“Setiap ekonomi sedang melaksanakan pembaharuan untuk melangkah maju, oleh itu, kerajaan dan sektor swasta atau pihak berkepentingan perlu memantau perkembangan dunia dan meneruskan momentum.

“Pembaharuan memang sukar dan ia menjadi lebih mencabar dalam usaha Malaysia menjadi lebih baik dan meningkat dari segi ranking,” katanya. — Bernama

Advertisement