Anda di sini

Kementerian Pendidikan agensi berisiko tinggi rasuah

Advertisement
 Nor Rasmi bergambar bersama semua peserta yang hadir.
KENANGAN: Nor Rasmi bergambar bersama semua peserta yang hadir.

TAWAU: Kementerian Pendidikan dikategorikan sebagai antara agensi berisiko tinggi yang memerlukan perhatian pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM melalui Unit Pendidikan Masyarakat (PENMAS) bertanggungjawab untuk memberikan mesej anti rasuah kepada warga pentadbir dan pendidik dalam sektor pendidikan.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM TPj Nor Rasmi Shari berkata, Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 ialah memperkukuhkan program kepimpinan untuk warga pendidik dan pentadbir.

"Peneraju dalam mencapai objektif itu terletak kepada tiga agensi iaitu Kementerian Pendidikan, SPRM dan Institut Integriti Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program bual bicara melestarikan integriti dan anti rasuah dalam sektor pendidikan yang melibatkan pengetua, guru besar dan Anggota Kumpulan Pelaksana daripada 82 buah sekolah daerah Tawau, di sini semalam.

Katanya, objektif program adalah untuk menerapkan ciri-ciri moral dan etika yang berkualiti untuk membentuk pentadbir sekolah berintegriti tinggi disamping memberikan pendedahan mengenai kepentingan peranan, tanggungjawab dan mendorong perkembangan pendidik.

"Antara objektif lain ialah menanam kesedaran dan menyuburkan nilai-nilai murni untuk meningkatkan produktiviti sekolah serta memberikan penerangan mengenai kesalahan rasuah yang berpotensi berlaku dikalangan warga pendidik," katanya.

Nor Rasmi berkata, SPRM mengajak rakyat membenci rasuah dan menolak mereka yang terlibat rasuah serta membudayakan antirasuah dalam kehidupan seharian.

"Hal ini kerana, jika rasuah sudah menjadi cara hidup menyebabkan masyarakat tidak lagi berkompromi dengan sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

"Kita mahu rakyat melihat pelakuan rasuah sebagai sesuatu yang hina dan jijik dan merosakkan sistem sosial, ekonomi dan politik negara," katanya.

Menurutnya, tanggungjawab mencegah rasuah bukanlah terletak di bahu SPRM semata-mata tetapi merupakan tanggungjawab semua pihak.

"Saya mengharapkan peserta yang hadir pada program ini dapat menjadi 'role model' kepada anak-anak Malaysia khususnya di Tawau," katanya.

  • oleh
  • Advertisement