Anda di sini

'YouTuber', kerjaya baharu menjanjikan pendapatan lumayan

Advertisement
 Cardock selepas selesai bengkel Youtube.
BERPENGALAMAN: Cardock selepas selesai bengkel Youtube.

TIADA cara yang betul atau salah dalam mencipta isi kandungan video jika anda berniat dan berminat untuk menjana pendapatan melalui laman sesawang YouTube.

Demikian menurut pemilik ‘channel’ Youtube Cardock, atau nama sebenar beliau, Fadhil Mohamad Isa, ketika ditemu bual pemberita Utusan Borneo, baru-baru ini.

“Pelbagai jenis dan genre video boleh dibuat, disunting dan dimuat naik oleh pemiliknya ke laman sesawang YouTube asalkan ia tidak melanggar garis panduan yang dikenakan oleh mereka,” ujar lelaki berusia 35 tahun itu yang menjadikan YouTube sebagai mata pencariannya.

Akhir-akhir ini menyaksikan ramai rakyat Malaysia yang mengambil peluang untuk menjana pendapatan melalui laman sesawang YouTube.

 Peserta bengkel merakam gambar kenangan sambil memegang sijil mereka.
PEROLEH ILMU: Peserta bengkel merakam gambar kenangan sambil memegang sijil mereka.

Malah, ada antara mereka ini yang lebih dikenali dengan panggilan ‘YouTuber,’ menjadikan laman sesawang berkenaan sebagai kerjaya sepenuh masa. 

YouTuber hanya perlu tampil dengan idea sendiri atau isi kandungan video secara kreatif dan asli serta memuat naik video tersebut di laman sesawang YouTube.

Mereka menjana pendapatan melalui kaedah ‘monetization,’ iaitu dengan menerima wang hasil daripada iklan yang dipaparkan sebelum, semasa atau di sepanjang klip yang mereka muat naik.

Begitulah Cardock berjaya memperoleh pendapatan lumayan bulanan sehingga mampu berhenti daripada menjadi pembaca berita televisyen.

 Cardock berkongsi jenis kamera yang digunakannya untuk merakam video.
SESUAI: Cardock berkongsi jenis kamera yang digunakannya untuk merakam video.

Beliau yang dahulunya bekerja sebagai pembaca berita bagi TV9, kini beralih menjadi YouTuber sepenuh masa dan berjaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya dalam RM7,000 hingga RM11,000 sebulan.

“Setiap hari saya akan memuat naik video hak cipta sendiri walaupun hanya satu. 

“Sekiranya anda tidak berterusan memuat naik video, maka tiada kesinambungan dalam mengekalkan hubungan atau interaksi dengan penonton dan seterusnya anda berpotensi untuk kehilangan mereka,” ujar beliau semasa berkongsi ilmu dan pengalaman menjadi YouTuber dalam satu bengkel yang dianjur oleh beliau di sini, baru-baru ini. 

Ketika ditanya mengenai sebab beliau menganjurkan bengkel yang memfokuskan kepada cara seseorang untuk menjana pendapatan melalui laman sesawang YouTube, beliau berkata ia adalah sebagai satu cara baginya untuk menyumbang kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu. 

 Cardock semasa sesi soal jawab.
KONGSI IDEA: Cardock semasa sesi soal jawab.

Setakat ini, beliau sudah menganjurkan lebih daripada 20 bengkel di Malaysia. 

Pada 15 Oktober lalu merupakan kali pertama beliau mengadakan bengkel di Kuching.  

“Walaupun kini saya memperoleh pendapatan sampingan dengan menganjurkan bengkel, pendapatan utama saya masih datang daripada YouTube.

“Seperti yang saya utarakan dalam bengkel tadi, kesinambungan dalam menghasilkan video mesti ada untuk memastikan wang sentiasa masuk. 

 Muhammad Iqram, seorang daripada peserta bengkel yang ditemu bual selepas bengkel.
MENARIK: Muhammad Iqram, seorang daripada peserta bengkel yang ditemu bual selepas bengkel.

Oleh itu, sekiranya terdapat hari saya tidak menghasilkan video, seminar inilah yang akan mengganti sedikit wang yang hilang akibat tidak memuat naik video ke YouTube,” ujar beliau lagi.

Apabila ditanya mengenai masa depan ataupun prospek mereka yang menjadikan YouTube sebagai kerjaya, beliau berkata, ia merupakan satu trend pada masa kini.

“Untuk masa depan saya tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut.

“Namun, pada pandangan saya, ia merupakan satu trend baharu di Malaysia. Di Amerika Syarikat, trend ini sudah lama bertapak. Cuma di negara kita, kita sedang berjinak-jinak dalam menjadikannya sebagai satu kerjaya ataupun perkara yang serius,” ujar beliau.

AMIRUDDIN
AMIRUDDIN

Sementara itu, menurut beberapa peserta yang mengikuti bengkel tersebut, mereka menyatakan bahawa bengkel tersebut serba-serbi membantu dalam meningkatkan kemahiran mengendalikan laman sesawang YouTube.

“Bengkel ini sangat menarik kerana ia memberi peluang dan menunjukkan kaedah yang betul kepada pesertanya untuk menjadi YouTuber.

“Sebelum ini saya terpaksa berusaha sendiri sehingga adakalanya agak sukar bagi saya untuk memahami proses yang sepatutnya. Dengan adanya bengkel tersebut, kini saya memperoleh ilmu untuk melakukan monetization selain memperoleh idea untuk menghasilkan atau menyunting video yang menarik perhatian umum,” ujar Muhammad Iqram Hassan, 24.

Ujar beliau lagi, melalui bengkel tersebut juga, beliau kini tahu isu hak cipta terpelihara adalah penting dalam memastikan video yang dihasilkan dapat menjana wang ataupun tidak.

“Saya baru tahu bahawa sekiranya YouTuber menggunakan lagu ciptaan orang lain dalam video mereka, YouTube tidak akan membayar YouTuber tersebut walaupun mereka sudah memberikan kredit terhadap pemilik asal lagu tersebut,” tambahnya.

Menurut Amiruddin Mustapha pula, banyak maklumat baharu diperolehinya hasil perkongsian ilmu dalam bengkel tersebut.

“Bengkel ini sangat menarik dan sangat membantu dalam minat saya untuk menjadi seperti beliau (Cardock). 

“Kini saya tahu jenis peralatan sesuai seperti kamera, mikrofon dan sebagainya yang boleh diguna pakai semasa mengambil video.

"Melalui bengkel ini juga, saya boleh bertukar-tukar pendapat dengan YouTuber lain dan seterusnya mengembangkan idea untuk projek akan datang,” ujar remaja berusia 16 tahun terbabit sambil menambah, bengkel berkenaan lebih banyak membantunya daripada mencari maklumat di laman sesawang Google.
 

  • oleh
  • Advertisement